Lebih RM1.2 juta eksibit dilupuskan

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

PAYA RUMPUT 24 Feb. – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri melupuskan lebih RM1.2 juta barang sitaan sepanjang tahun lalu.

Pengarahnya Norena Jaafar berkata, kesemua barang sitaan itu membabitkan 119 kes daripada jumlah keseluruhan iaitu 242 kes dihasilkan pihaknya sepanjang 2020.

Beliau berkata, sepanjang tahun lalu sejumlah 19,878 pemeriksaan dijalankan KPDNHEP Melaka membabitkan 15,480 premis di kawasan bandar dan bakinya di luar bandar.

NORENA Jaafar melupuskan cakera padat cetak rompak.

“Sepanjang tahun lalu kita telah melupuskan barang sitaan berjumlah RM1,207,634.60 dan hari ini sejumlah RM144,198 lagi eksibit membabitkan dua kes daripada tahun lalu turut dilupuskan.

“Daripada 242 kes dihasilkan sejumlah RM541,480.90 membabitkan rampasan kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan 2011 serta Akta Cap Dagang 2019 dengan 50 kes direkodkan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Pelupusan Eksibit di Stor Simpanan KPDNHEP, di Krubong Jaya, di sini, hari ini.

Menurut beliau, sejumlah RM205,550 turut diperoleh daripada tindakan kompaun dikenakan ke atas 201 kes membabitkan semua akta yang dikuatkuasakan KPDNHEP.

“Manakala sejumlah RM244,500 denda direkodkan melalui tindakan pendakwaan dan sebanyak RM181,787 diperoleh daripada barang kes yang disita dan dijual serta dijadikan hasil kerajaan,” katanya.

Mengulas lanjut Norena berkata, sepanjang 2020 juga pihaknya menerima sebanyak 898 aduan berkaitan perihal harga dan daripada itu 45 kes berjaya dihasilkan.

“Kami amat berharap dan mengalu- alukan kerjasama daripada masyarakat dalam menyalurkan maklumat mengenai salah laku dibawah akta KPDNHEP agar tindakan segera dapat diambil,” katanya.

Terdahulu, pada Program Pelupusan Eksibit itu, sejumlah 441 unit pakaian dan aksesori tiruan berjenama mewah termasuk 256 cakera padat cetak rompak dilupuskan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

679
Kongsi :
Previous post 75 peguam syarie dilantik atas talian
Next post ‘Anak’ tipu duit pesara RM18,700
Ubah saiz-+=