75 peguam syarie dilantik atas talian

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

AYER KEROH 24 Feb. – Seramai 75 peguam syarie dilantik menerusi Majlis Penerimaan Masuk Peguam Syarie Melaka Siri 1 2021 hari ini, sekali gus menempa sejarah apabila diadakan di atas talian menerusi aplikasi Cisco WEBEX .

Program selama lima sesi berpusat di Dewan Mahkamah Syariah Melaka itu dimulakan dengan pengisytiharan di hadapan Ketua Hakim Syarie Mahkamah Syariah Negeri Melaka (MSNM), Datuk Mohd Nadzri Abdul Rahman.

Majlis turut disertai Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah, Abd Razak Mat Nayan selain tiga Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Azmi Ibrahim; Shukeri Najib Ab Rahim dan Mohd Saifuddin Othman.

KETUA Hakim Syarie Mahkamah Syariah Negeri Melaka (MSNM), Datuk Mohd Nadzri Abdul Rahman.

Mohd Nadzri berkata, semua peguam dilantik perlu mengamalkan sikap profesional dalam semua aspek dan memberikan bantuan khidmat sosial kepada pelanggan dengan penuh etika, adab serta mematuhi kehendak hukum syarak sejajar Arahan Amalan No. 4 Tahun 2002 yang dikeluarkan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM).

“Tahniah diucapkan kepada semua peguam syarie yang diterima masuk untuk beramal di Mahkamah-Mahkamah Syariah seluruh Negeri Melaka.

“Saya sarankan semua peguam baharu dilantik supaya kekal mematuhi etika dan adab sama ada mereka berada di dalam atau di luar dewan mahkamah.

“Sebagai peguam syarie, kita perlu mengelak daripada memberi komen-komen yang tidak wajar kepada mahkamah, mengawal diri daripada penulisan negatif sama ada melalui media atau apa jua bentuk komunikasi yang bertentangan dengan mahkamah dan hukum syarak serta berusaha menjalinkan hubungan baik dan mesra dengan pihak mahkamah,”katanya dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Sementara itu, jurucakap program, Jamiah Husin berkata, lantikan penerimaan masuk peguam terbabit telah melalui peringkat peperiksaan bertulis, temu duga, kelulusan dalam Mesyuarat Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan kemudian diperkenan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, sebelum ini program diadakan secara bersemuka dalam dewan mahkamah di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah yang disusuli dengan Majlis Penyampaian Tauliah Peguam Syarie oleh ketua menteri.

“Tahun ini program diadakan secara atas talian kerana mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan dengan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) yang diperketatkan.

“Alhamdulillah, program bermula jam 8.30 pagi hingga 5 petang tadi berjalan lancar dengan disertai lebih 100 peserta terdiri daripada peguam syarie, peguam pengusul dan penyarung jubah serta keluarga peserta,”katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1372
Kongsi :
Previous post Muhyiddin kongsi pengalaman disuntik vaksin COVID-19
Next post Lebih RM1.2 juta eksibit dilupuskan
Ubah saiz-+=