‘Lega masih boleh berniaga’ – Rakyat

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

BUKIT KATIL 1 Jun – Biarpun kerajaan melaksanakan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi atau ‘total lockdown’ Fasa Pertama bermula hari ini, namun peniaga kecil tetap diberi peluang meneruskan perniagaan menampung keperluan hidup sekaligus memberi kelegaan buat mereka.

Seorang peniaga Rosnah Mahat, 48 bersyukur masih diberikan peluang untuk meneruskan perniagaan makanan sepanjang tempoh itu di Taman Saujana Bukit Katil.

“Alhamdulillah la boleh niaga, kira ada juga pendapatan berbanding sebelum ni (PKP 1.0) tiada pendapatan dan harapkan gaji suami saja ditambah pula anak ada lima orang.

“Saya dah berniaga makanan di sini hampir lima tahun, bila PKP memang terkesan dari segi pelanggan yang datang pun berkurangan berbanding sebelum ini,” katanya ketika ditemui MHI hari ini.

Katanya, pada masa sama dia turut ingin memohon Geran Khas Prihatin (GKP) yang ditambah sebanyak RM500 menjadikan jumlah keseluruhan kepada RM1,500 di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) Tambahan.

“Sebelum ini tak sempat nak mohon, jadi kali ini memang nak mohon, sekurangnya dapatlah untuk tambah modal untuk jual air semua.

“Memang saya harapkan bantuan GKP tu tapi belum mohon, khemah niaga pun dah koyak ni semua dugaan niaga masa ‘lockdown’,” katanya lagi.

Manakala Wan Mohd Fauzi, 33 pula berkata cabaran buat peniaga kecil kali ini perlu ditempuhi juga memandangkan itu adalah pendapatan utama buat peniaga sepertinya.

“Selama lima tahun berniaga, cabaran masa niaga ‘lockdown’ ni pelanggan kurang, banyak kilang tutup orang pun kurang lalu jadi ‘slow’ sikitlah jualan.

“Mula berniaga dari jam 11 pagi hingga pukul 6.30 petang, pelanggan tetap biasanya bila ibu bapa ambil anak balik sekolah agama mereka singgah, begitu juga dengan pekerja kilang, tapi sekarang banyak kilang dah tutup,” katanya.

Katanya sejak pelaksanaan PKP dia mengalami pengurangan pendapatan hampir 50 peratus, namun itu tidak mematahkan semangat untuk dia untuk meneruskan perniagaan untuk keluarga.

NOR Azlan

Sementara itu Mohd Nor Azlan Nor Rizan, 25 dari Kampung Tehel bersyukur kerajaan masih prihatin akan nasib peniaga kecil di negeri ini.

“Dulu PKP 1.0 langsung tak dapat berniaga, jadi alhamdulillah sekarang jauh lebih baik,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

384
Kongsi :
Previous post Tak sangka bakal terima lagi BPR RM500
Next post Bantuan kit makanan RM2.5 juta
Ubah saiz-+=