Leka berjudi, 68 individu dicekup polis

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

MELAKA 3 Mac. – Malang buat 68 individu ‘kaki judi’ apabila dicekup sepasukan polis selepas kegiatan perjudian mereka berjaya dikesan dalam Op Limau yang dijalankan sepanjang bulan lalu.

Kesemua mereka ditahan oleh pasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka secara berasingan dalam 11 siri serbuan dilakukan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, 68 individu itu termasuk sembilan wanita berusia antara 35 hingga 79 ditahan di seluruh negeri ini dari 1 hingga 28 Februari lalu.

ANTARA individu yang ditahan dalam serbuan Op Limau, bulan lalu.

“Serbuan yang dilakukan bukan hanya menyasarkan premis, malah kita turut menyerbu kediaman dan hasilnya 68 individu ditahan selepas didapati berjudi.

“Ketika serbuan dilakukan ada antara mereka bukan hanya leka berjudi, malah menjamu selera selain turut ditemui wang tunai dipercayai wang pertaruhan,” katanya.

Menurut beliau, antara jenis perjudian popular yang dikesan sepanjang Op Limau yang dijalankan pihaknya membabitkan Mahjong Pit dan Gin Rummy.

“Sepanjang 28 hari operasi dijalankan sejumlah RM24,852 wang tunai dan set peralatan perjudian dirampas.

“Operasi dan serbuan ke lokasi sasaran kini giat dijalankan dalam usaha pihak polis membanteras aktiviti perjudian terutamanya pada musim perayaan,” katanya.

Mengulas lanjut Mohd Sukri berkata, semua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 6 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 kerana berjudi dalam bangunan.

“Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua duanya sekali,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

591
Kongsi :
Previous post Pele sifatkan pengalaman disuntik vaksin COVID-19 sebagai ‘hari yang tidak dapat dilupakan’
Next post Rakyat Malaysia bebas daripada tuduhan berkaitan dadah di Singapura
Ubah saiz-+=