Lelaki maut langgar lembu

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

RIM 24 Nov – Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangi melanggar seekor lembu yang dipercayai berada di atas jalan.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.25 pagi di Jalan Simpang Bekoh-Rim itu, mangsa, Aizal Abdullah, 47 yang juga pekerja sebuah pusat pelancongan maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden Mispani Hamdan berkata, hasil siasatan mendapatu mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda Dash sedang dalam perjalanan dari arah Sempang Bekoh menghala ke arah Rim.

“Dalam perjalanan itu mangsa dipercayai gagal mengelak lalu melanggar seekor lembu yang turut ditemui terbaring di tengah jalan oleh pegawai penyiasat.

“Dalam kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan dan meninggal dunia di lokasi kemalangan.

“Mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Jasin untuk bedah siasat,” katanya.

Mispani berkata kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

LEMBU yang ditemui terbaring selepas dilanggar motosikal ditunggangi mangsa.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan pemilik dan penternak lembu agar tidak membiarkan haiwan ternakan itu bebas tanpa pemerhatian.

Katanya, tindakan tegas akan diambil pihak polis bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) sekiranya terdapat haiwan ternakan mengganggu pengguna jalan raya atau merosakkan tanaman penduduk.

“Polis akan mengambil tindakan bersepadu bersama PBT untuk tindakan menangkap atau merampas lembu terbabit.

“Kompaun akan dikeluarkan kepada pemilik dan jika lembu itu tidak dituntut, ia akan dirampas dan dilelong,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1038
Kongsi :
Previous post PRN Sarawak 18 Dis, penamaan calon 6 Dis – SPR
Next post Keputusan permohonan eGTukar akan dikeluarkan pada 6 Dis
Ubah saiz-+=