Lelaki mengaku tak bersalah atas kesalahan menumbuk, bawa lari kereta peronda, cubaan melanggar

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

AYER KEROH 3 Julai – Lelaki yang juga jurujual kereta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Ayer Keroh, di sini , semalam atas tuduhan menumbuk, membawa lari kereta peronda polis serta cuba melanggar anggota bertugas bagi melarikan diri daripada tahanan reman.

Tertuduh, Voong Thiam Siam, 40, membuat pengakuan itu sebaik kesemua lima pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah dalam dua prosiding berasingan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan dan Majistret Teoh Shu Yee.

Mengikut tiga pertuduhan dihadapan Elesabet, tertuduh didakwa cuba membunuh seorang anggota polis yang boleh menyebabkan kematian dengan memandu laju sebuah kereta polis jenis Proton Waja berwarna putih, menumbuk anggota polis yang sedang menjalankan tugas sehingga menyebabkan kecederaan dan cuba melarikan ketika tangan masih bergari.

Justeru, dia didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan (KK) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun kerana cubaan membunuh dan Seksyen 353 kanun sama kerana menyebabkan kecederaan yang boleh dipenjara dua tahun atau denda atau keduanya jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang ditahan atas kesalahan dadah itu turut didakwa mengikut Seksyen 224 KK kerana cuba melarikan diri dari tahanan.

Manakala, bagi dua pertuduhan di hadapan Shu Yee, dia didakwa mencuri sebuah kenderaan polis serta melakukan khianat sehingga menyebabkan kerosakan pasu bunga iaitu harta milik kerajaan Malaysia dan didakwa mengikut seksyen 379 A dan 425 KK.

Kesemua kesalahan itu dilakukan tertuduh, di Klinik Kesihatan Jalan Gereja, Banda Hilir, pada jam 3.30 petang, 4 Mei 2020.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hayatul Wirdah Mohd Yunos dan Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Di akhir penghakiman, tiada sebarang jaminan ditawarkan keatas tertuduh dengan mengambil kira kesalahan dilakukannya selain mahkamah menetapkan 7 Ogos depan tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Views:

366
Kongsi :
Previous post Zuraida dirai sempena lawatan kerja ke Melaka
Next post Mini Santuari Buaya di Sungai Kesang
Ubah saiz-+=