Lembaran baharu hubungan Melaka, Itali

Masa Membaca:2 Minit, 30 Saat

ROM, ITALI 10 Ogos – Pra-pelancaran Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) di Pejabat Kedutaan Malaysia Rom, Itali, di sini, menjadi langkah penting dalam memperkenalkan Negeri Melaka di mata dunia.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, majlis anjuran Tourism Melaka bersama Institut Warisan Melaka (INSWA) itu juga sekali gus menjadi satu lembaran baharu kepada Negeri Melaka dengan negara Eropah itu.

Menurutnya, pada majlis pelancaran yang dihadiri wakil-wakil pihak kedutaan, industri pelancongan, dan media Itali itu, beliau bukan sahaja dapat mempromosikan produk pelancongan dari Melaka, bahkan turut menyuarakan kesediaan Kerajaan Negeri memperkukuh kerjasama dalam bidang pelancongan di antara kedua-dua negara.

Ujar beliau, antara kerjasama yang boleh dijalin ialah pertukaran ilmu dan pengetahuan membabitkan kekayaan warisan, seni dan budaya di antara Melaka dan Itali.

Selain itu, beliau berkata, kerjasama dalam bidang seni bina dan seni tradisional juga boleh dimartabatkan menerusi kerjasama kukuh yang terjalin.

“Pelancaran TMM2024 di Rom merupakan satu titik permulaan baru dalam memperkukuhkan hubungan antara dua negara, selain bertujuan untuk memperkenalkan warisan budaya Melaka yang unik kepada rakyat Itali.

“Pada masa sama, pelancaran ini juga memberi peluang kepada rakyat Itali untuk melakukan eksplorasi dan merasai sendiri keindahan budaya dan sejarah Melaka.

“Dengan pendedahan kepada tarikan-tarikan utama kawasan bersejarah di Banda Hilir seperti St. Paul’s Hill, Kota A’Famosa, selain warisan seni tradisional, rakyat Itali akan dapat merasai pengalaman pelancongan yang lebih menarik,” katanya selepas menyempurnakan majlis pra-pelancaran TMM2024 itu, pada Selasa.

Hadir sama pada majlis itu ialah Charge d’Affaires Kedutaan Besar Malaysia di Rom Itali, Ahmad Fuad Mohd Norzin; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin; Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan negeri Sa’ari Basiron dan Pegawai Pemasaran Tourism Malaysia Itali, Vincenza Andreini.

Hadir sama, Duta India ke Itali, Dr. Neena Malhotra; Duta Sudan ke Itali, Sayed Altayeb Ahmed; Duta Iraq ke Itali, Barzani Saywan; Duta Bangladesh ke Itali, Md. Shameem Ahsan; Duta Macedonia ke Itali, Vesel Memedi; Duta Hungary ke Itali, Ádám Zoltán Kovács; Duta Filipina ke Itali, Nathaniel G. Imperial dan lain-lain kenamaan.

photo1691576880
ABDUL Razak (tengah) bergambar bersama kenamaan dan penggiat seni INSWA yang membuat persembahan dalam siri jelajah di beberapa kawasan di Itali.

Mengulas lanjut, Abdul Razak berkata, menerusi promosi produk pelancongan di Itali itu, ia juga bakal memberi manfaat kepada rakyat Negeri Melaka.

Ini kerana, menurut beliau, peningkatan jumlah pelancong dari Itali dan negara-negara luar lain bakal memberi impak positif kepada ekonomi, selain merangsang pertumbuhan perniagaan dan membuka peluang pekerjaan baharu dalam bidang pelancongan.

“Majlis ini turut menandakan satu langkah positif ke arah memperkenalkan keunikan dan pesona Melaka kepada rakyat Itali, serta pada masa sama memperluas jangkauan destinasi pelancongan yang menarik di peringkat global,” tambahnya.

Selain pelancaran, pada majlis itu juga, pengunjung dihiburkan dengan persembahan lagu dan tarian Melayu seperti Zapin Madah Pusaka dan Joget Melaka.

Majlis diakhiri dengan tarian yang sinonim dengan budaya Negeri Melaka iaitu joget lambak bersama tetamu yang hadir.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1172
Kongsi :
Previous post Pemilik reda kedai fotokopi dirempuh lori
Next post Pondok Darul Ulum Al-Arabiyyah Al-Islamiyyah juara Liga Penalti Antara Madrasah Melaka
Ubah saiz-+=