LKIM sedia bimbing usahawan ceburi penternakan akuakultur

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

SUNGAI RAMBAI 4 Julai – Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sedia membimbing mana-mana usahawan dalam negara untuk menceburi bidang penternakan akuakultur.

Ketua Pengarahnya, Othman Abdul Latiff berkata, buat masa ini pihaknya sudah menyediakan tiga lokasi untuk bimbingan dan latihan di lapangan iaitu di Kuala Sebatu (Melaka), Badong (Pahang) dan Telaga Air di Sarawak.

“Buat masa ini, kita mempunyai lima projek penternakan akualtur iaitu melibatkan penternakan ikan siakap, kerapu hybrid, talapia merah, udang putih dan udang harimau.

“Projek penternakan akuakultur ini sangat penting bagi tujuan menyeimbangkan industri tangkapan dan industri ternak berikutan dasar kerajaan yang mahu melihat kedua-kedua sektor ini berupaya menghasilkan 1.4 juta tan metrik setahun bagi menampung permintaan.

“Justeru kita di LKIM sedia memberi tunjuk ajar dan bimbingan kepada mana-mana usahawan yang berminat untuk menceburi bidang penternakan akuakultur ini,” katanya ketika ditemui di Kolam Ternakan Udang Harimau di Kuala Sebatu, di sini pagi tadi.

Mengulas mengenai projek ternakan udang harimau, Othman menyambut baik penglibatan persatuan nelayan negeri bersama Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) dalam memperkukuhkan rantaian pemasaran projek akuakultur berkenaan.

Jelasnya, melalui usahasama itu, bekalan udang harimau kini sudah boleh didapati secara atas talian dan melalui platform e-dagang.

“Setiap minggu pihak NEKMAT akan mengambil 500 kilogram hingga 1 tan udang untuk dipasarkan melalui platform atas talian nekmatbiz.com.my dan juga platform e-dagang, Shoppee.

“Ini adalah satu usahasama yang cukup bagus dalam memenuhi permintaan udang yang merupakan sumber protein yang bagus kepada semua.

“Selain membekalkan udang segar, usahasama ini juga secara tak langsung dapat mengawal harga di pasaran agar ia tidak terlalu tinggi dan membebankan rakyat,” ujarnya.

Views:

854
Kongsi :
Previous post KM luangkan masa bersama penduduk Bukit Katil
Next post Covid-19: Pengambilan perajurit muda tentera darat tidak dikurangkan
Ubah saiz-+=