Loji air Chin Chin bekal air bersih kepada 26,000 pengguna

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

JASIN 14 Oktober – Pembinaan Loji Rawatan Air Kompak Chin Chin dengan peruntukan sejumlah RM40 juta mampu membekalkan air bersih kepada 26,000 pengguna berdaftar di kawasan Jasin dan Merlimau.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, loji itu dibina dengan kapasiti 30 juta liter sehari menggunakan sistem kompak dengan keluasan kira-kira 0.20 hektar.

“Ini inisiatif Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) bagi menstabilkan bekalan air bersih di negeri ini sementara menunggu projek pembinaan berskala besar lain siap seperti Loji Rawatan Air Merlimau Fasa 2 dan pembinaan Loji Rawatan Air
Jernih di Daerah Alor Gajah.

“Loji ini mula beroperasi pada April 2022 yang lalu dan membekalkan air bersih untuk kawasan Jasin dan Merlimau melibatkan sejumlah 26,000 akaun berdaftar dengan SAMB,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Loji Rawatan Air Kompak Chin Chin 3 Jasin yang dirasmikam Perdana Menteri, Datuk Seri Utama Ismail Sabri Yaakob di sini, hari ini.

Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar dan lain-lain kenamaan.

Sulaiman berkata, pembinaan loji kompak ini merupakan projek jangka pendek yang dirangka selepas Negeri Melaka dilanda krisis bekalan air akibat kemarau sehingga menyebabkan catuan bekalan air terpaksa dijalankan pada awal tahun 2020 yang lalu.

Justeru, beliau berkata, besar harapannya agar satu peruntukan tambahan dapat diberikan kepada Kerajaan Negeri Melaka bagi menjalankan projek pemindahan air mentah dari Sungai Rembau ke Empangan Durian Tunggal.

“Ini kerana ia (peruntukan tambahan) berpotensi bagi mengoptimumkan pengepaman sumber air mentah di dalam Negeri Melaka.

“Projek ini juga dapat membantu untuk mengurangkan kos elektrik yang ditanggung SAMB kerana jarak pengepaman yang jauh dari Sungai Muar ke Empangan Durian Tunggal iaitu sejauh 70 kilometer,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2087
Kongsi :
Previous post JPJ Melaka keluarkan 123 notis kesalahan pemandu dan pemilik kenderaan
Next post Adaptasi teknologi IR 4.0 tingkat kualiti air bersih – KM
Ubah saiz-+=