Loji rawatan kumbahan terbesar di Melaka siap dibina

Masa Membaca:1 Minit, 54 Saat

AYER KEROH 21 Mac – Loji Rawatan Kumbahan Serantau Batu Berendam siap dibangunkan dengan kos kira-kira RM111 juta sekali gus menjadi loji terbesar dibangunkan di negeri ini.

Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, loji itu sekali gus merekodkan loji rawatan berpusat ketiga yang dibangunkan di Melaka mampu merawat sehingga 140,000 penduduk setara dan diunjur mencecah 500,000 penduduk setara pada masa akan datang.

Beliau berkata, pembinaan loji rawatan kumbahan yang telah beroperasi dan menerima aliran kumbahan sejak 13 Disember lalu, mampu merawat sisa kumbahan hingga 126,000 meter padu sehari seklai gus menyumbang kepada kelestarian alam sekitar.

“Salah satu komponen projek ini ialah program rasionalisasi 61 loji awam dan sistem pembentungan di 10 premis kerajaan di kawasan Taman Kerjasama, Melaka Baru, Taman Nuri, Taman Merdeka dan sekitar kawasan Lapangan Terbang Batu Berendam menerusi Projek Pembinaan Rangkaian Paip Pembentungan.

“Loji Rawatan Kumbahan Serantau Batu Berendam dianggarkan akan menerima kumbahan sehingga 80 peratus daripada kapasiti reka bentuknya apabila Projek Pembinaan Rangkaian Paip Pembentungan yang pada fasa akhir pembinaan dianggar disiapkan pada 13 Jun depan.

“Pembinaan ini akan memberi manfaat kepada penduduk di kawasan tadahan Batu Berendam melalui penyediaan sistem rawatan kumbahan yang mampu memastikan beban cemar daripada kumbahan perumahan dan komersial dapat dirawat sebelum dilepaskan ke badan air,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Penyerahan Projek Pembinaan Loji Rawatan Kumbahan Serantau Batu Berendam di sini, hari ini.

TUAN Ibrahim dan Zaidi melihat kualiti teknologi rawatan ‘Extended Aeration’ (EA) dan mampu memastikan pelepasan kualiti efluen kumbahan mencapai Standard A dan mematuhi Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kumbahan 2009).

Hadir sama, EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Negeri Datuk Zaidi Atan dan lain-lain kenamaan.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata, pembinaan loji rawatan kumbahan terbesar di Melaka itu sekali gus membantu pembangunan baharu di kawasan industri Batu Berendam tanpa perlu menyediakan sistem rawatan kumbahan di pembangunannya.

“Loji ini juga menggunakan teknologi rawatan ‘Extended Aeration’ (EA) dan mampu memastikan pelepasan kualiti efluen kumbahan mencapai Standard A dan mematuhi Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kumbahan 2009).

“Kami yakin projek ini membantu meluaskan perkhidmatan pembetungan di bandar-bandar utama kepada 85 peratus menjelang tahun 2025,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3011
Kongsi :
Previous post Beku akaun bekas suami ingkar beri keadilan pada wanita – Kalsom
Next post Sensasi anggur ‘made in’ Ramuan Cina Besar
Ubah saiz-+=