Beku akaun bekas suami ingkar beri keadilan pada wanita – Kalsom

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

BANDA HILIR 21 Mac – Kerajaan negeri menyatakan sokongan terhadap pengumuman dibuat Perdana Menteri berhubung pembekuan akaun bekas suami yang ingkar perintah mahkamah untuk membayar nafkah kepada bekas isteri.

EXCO Hal Ehwal Wanita Negeri Datuk Kalsom Nordin berkata, keputusan di buat itu sebagai amaran kepada golongan lelaki untuk sentiasa melunaskan tanggungjawab dalam memberikan nafkah selain berhati-hati sebelum melafazkan cerai.

Beliau berkata, hak wanita seharusnya diberi dan dipertahankan seadilnya bukan hanya dibiarkan tanpa sebarang pembelaan oleh pihak sepatutnya.

“Apabila bercerai wanita bukan sahaja keluar bersama anak malah membawa satu tanggungjawab yang besar untuk dipikul berbanding dengan kaum lelaki.

“Ini memberi satu petunjuk kepada lelaki agar tidak mengambil mudah, hak- hak wanita khususnya dari segi kewangan selalu tidak diberi bahkan hak wanita sepatutnya diberikan secara adil,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Wanita Bersatu Mencegah Jenayah Peringkat Melaka, yang turut dihadiri Pemangku Ketua Polis Melaka Datuk Razali Abu Samah, di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Menurut beliau, selalunya apabila berlaku penceraian ia bukan sahaja memberi tekanan kepada wanita malah ahli keluarga juga turut terbabit.

“Apabila berlaku penceraian ia bukan sahaja memberi beban kepada wanita malah turut melibatkan keluarga. Selaku EXCO Wanita saya selalu dibanjiri dengan kes sebegini antaranya tidak cukup makan dan tiada duit sewa rumah kerana tidak diberikan nafkah oleh bekas suami,” katanya.

Mengulas lanjut, Kalsom yang baharu dilantik sebagai Presiden Majlis Jasa Pendamai (JP) Melaka sekali gus menjadi wanita pertama dalam sejarah menerajui badan itu berkata, sebanyak 292 kes keganasan rumah tangga (KRT) direkodkan Polis Kontinjen Melaka sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.

“Pada 2021 polis merekodkan sebanyak 349 kes namun angka itu menurun pada tahun lalu kepada 292 kes dan pihak polis memberikan perhatian sewajarnya selain kes yang serius direkodkan membabitkan gangguan daripada bekas suami serta kejadian simbah minyak panas di Semabok.

“Malah jenayah seksual membabitkan golongan wanita seperti rogol, liwat dan cabul di Melaka juga turut merekodkan penurunan sebanyak 21.5 peratus pada tahun lalu dengan jumlah keseluruhan kes diterima 415 kes berbanding 529 kes untuk tempoh sama tahun sebelumnya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

790
Kongsi :
Previous post Pinda Akta 588 untuk beri hukuman lebih berat persenda OKU – Ras Adiba
Next post Loji rawatan kumbahan terbesar di Melaka siap dibina
Ubah saiz-+=