LTAM bakal dijadikan pusat aeroangkasa negara – KM

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

SERI NEGERI 30 November – Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) di Batu Berendam bakal diangkat sebagai salah satu pusat aeroangkasa di negara ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Ab Rauf berkata, perkara itu dizahirkan selepas delegasi Kerajaan Negeri mengadakan misi galakan pelaburan ke sebuah syarikat helikopter terbesar dunia di Milan, Itali.

Menurut beliau, perkara itu juga telah dibincangkan bersama Menteri Pengangkutan Anthony Loke, baru-baru ini, yang mana pada dasarnya Kerajaan Persekutuan bersetuju dengan hasrat Kerajaan Negeri itu.

“Ini kerana di Melaka terdapat sebuah syarikat menjalankan aktiviti aeroangkasa iaitu CTRM Aero Composites Sdn Bhd berhampiran LTAM yang telah memberi peluang pekerjaan sebanyak 3,000 orang.

“Saya percaya dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan memberi inisiatif dan insentif baharu kepada industri aeroangkasa, LTAM bakal diangkat sebagai pusat perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) pertama di rantau ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali (BN-Lendu) mengenai pelaburan baharu yang masuk ke Negeri Melaka pada hari terakhir Persidangan Ketiga (Bajet) Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Yang Kelima Belas, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ab Rauf memaklumkan, industri aeroangkasa yang sedang giat berkembang juga mendapat perhatian pihak swasta yang menyatakan minat untuk melabur.

Beliau percaya, industri berkenaan berupaya membuka 1,000 peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan di negeri ini.

“Malah, kita juga mempunyai sebuah institusi pengajian TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) iaitu Kolej Kemahiran Tinggi MARA Masjid Tanah di Paya Lebar yang mempunyai silibus ‘aeronatic’ dan bakal memasarkan pelatihnya dalam bidang aeroangkasa ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

704
Kongsi :
Previous post Sumber air mentah baharu untuk penduduk Kuala Linggi
Next post Misi pelaburan ke luar negara dijangka bawa nilai pelaburan RM4.5 bilion
Ubah saiz-+=