M-WEZ diyakini buka lebih banyak peluang pekerjaan

Masa Membaca:3 Minit, 1 Saat

AYER KEROH 9 April. – ‘Melaka Waterfront Economic Zone’ (M-WEZ) yang dilancarkan secara rasmi semalam diharap dapat memacu ekonomi negeri dan pada masa sama menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak jati Melaka.

Itu antara harapan diutarakan orang ramai terutama golongan B40 ketika ditemui Melaka Hari Ini (MHI) bagi mendapatkan pandangan susulan pelancaran gilang-gemilang koridor ekonomi baharu yang berimpak tinggi itu.

NORFARHANA

Suri rumah Norfarhana Syakila Sahak,23, berkata, dia difahamkan pembangunan M-WEZ di persisir pantai Selat Melaka bagi merancakkan sektor maritim negeri sebagai penyumbang ekonomi negeri.

“Saya terbaca akan ada banyak pelabuhan dibina untuk kontena, kargo, zon perdagangan bebas, hab logistik, terminal minyak dan gas serta terminal pelayaran dan feri.

“Selain itu ada juga produk pelancongan, zon bebas cukai, pusat membeli-belah, pejabat, hotel, kediaman dan industri Revolusi Industri 4.0.

“Ini semua akan memberi peluang untuk anak tempatan yang memiliki kemahiran berkaitan mendapat kerja.

“Saya juga nampak M-WEZ ini akan mengembalikan semula sejarah negeri ini yang terkenal sebagai negeri pelabuhan sejak dahulu lagi jika menjadi kenyataan,” katanya.

Dia yang merupakan seorang suri rumah tangga juga berharap apabila siap, M-WEZ akan memberi limpahan kemajuan di tempat tinggalnya di Masjid Tanah termasuk pelbagai pembangunan infrastruktur baharu dibina.

MUHAMMAD IZWAN.

Sementara itu, seorang pelajar, Muhammad Izwan Shaari,28, berkata, M-WEZ akan membawa imej negeri ini sebagai negeri pelabuhan membangun pada masa akan datang sekali gus memberi peluang utama Melaka mengaut pelbagai hasil ekonomi di kawasan terlibat.

“Apabila wujudnya pelbagai pelan projek baharu di Melaka ia akan menarik lebih ramai pelabur dari dalam dan luar negara dan ini akan memberi manfaat kepada rakyat Melaka.

“Dengan kesinambungan pelaburan yang bakal mendatang perkara ini akan memberi pelbagai peluang pekerjaan buat anak Melaka dan ini akan membantu mengurangkan kadar pengganguran di negeri ini,” katanya.

MOHD HASRUL.

Pada masa sama, seorang pekerja swasta, Mohd Hasrul Muhammad Sayuti, 28, berpendapat, sejarah keunggulan Melaka bakal kembali menguasai perairan negara ini dengan pelbagai kemajuan teknologi Revolusi Industri (IR 4.0) akan diaplikasikan dalam aspek pembangunan dan perdagangan di kawasan terlibat.

“Dahulu Melaka terkenal dengan pelayaran kapal layar yang berlabuh demi perdagangannya namun kini apabila M-WEZ terlaksana kita akan melihat sistem pelabuhan yang lebih maju ke hadapan sekali gus Melaka bakal dicontohi dunia,”katanya.

Bagi usahawan, Ekhwan Hakim Azmi, 27, berkata, M-WEZ yang dilancarkan itu merupakan projek pembangunan yang dinantikan rakyat di negeri ini dan dijangka membuka lembaran baharu dalam sektor import dan eksport di Melaka.

“Perkara ini akan meningkatkan sektor perdagangan di negeri ini dan akhirnya Melaka bakal dijadikan lokasi pelabuhan perdangan utama di Malaysia dan mampu menyaingi negara lain seperti Singapura.

“Kemajuan ekonomi itu tentunya akan memberi impak dalam pelbagai sektor perniagaan terutama perniagaan kecil yang diterajui golongan B40,” katanya.

M-WEZ bakal menjadi koridor pertama di pesisir pantai Selat Melaka dengan keluasan 10,117 hektar (25,000 ekar) sepanjang 33 kilometer pesisir pantai dari Tanjung Kling hingga ke Telok Mas yang membabitkan kawasan pembangunan tambak laut seluas 6,070 hektar.

Lima zon utama M-WEZ adalah Melaka Habourfront, Smart Logistic Nucleus, Digital Sattelite Township, Central Eco Business Park dan Trade Nucleus New Township yang mana kelima-lima zon mempunyai komponen tersendiri dengan fungsi yang saling berkaitan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali dilapor berkata, kerajaan negeri mengunjurkan M-WEZ akan menarik lebih RM100 bilion pelaburan global dalam tempoh 15 tahun dan dijangka menjana lebih 20,000 pekerjaan setiap tahun dengan keutamaan kepada penduduk tempatan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1773
Kongsi :
Previous post Putera Philip meninggal dunia
Next post Perlis, Kedah dan Melaka jadi projek rintis bayaran bantuan tanpa tunai
Ubah saiz-+=