MACP fokus 77 inisiatif ke arah bebas rasuah – KM

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

SERI NEGERI 28 Julai – Lima strategi yang digariskan dalam Pelan Antirasuah Negeri Melaka (MACP) 2022 – 2026 mendukung hasrat kerajaan bagi memastikan isu berkaitan pencegahan rasuah dalam kalangan kakitangan awam di negeri ini dilaksanakan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, usaha memerangi rasuah bukanlah sekadar retorik ataupun perkara yang perlu ditayang kepada umum untuk dijadikan kredit kepada pihak tertentu.

Katanya, pembangunan strategi yang terkandung dalam pelan berkenaan adalah bagi mempertingkatkan kualiti perkhidmatan awam selain mengekang sebarang anasir rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa di jabatan dan agensi di negeri ini.

“Terdapat lima strategi digariskan dalam pelan ini merangkumi ketelusan perolehan awam, memperkukuh kecekapan penyampaian perkhidmatan awam, memantapkan kredibiliti penguatkuasaan dan pelesenan, memperkukuh akauntabiliti dan integriti politik serta memupuk tadbir urus baik dalam sektor awam dan agensi.

“Manakala sebanyak 77 inisiatif telah dirancang bagi menjadikan negeri
Melaka bebas daripada rasuah, daripada jumlah itu sebanyak 42 inisiatif akan diberikan keutamaan kerana ia berimpak tinggi.

“MACP akan diguna pakai sebagai sumber rujukan jabatan dan agensi di bawah pentadbiran kerajaan negeri Melaka bagi tempoh 2022 hingga 2026,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Kerajaan Negeri dan Pelancaran MACP Tahun 2022-2026 di Auditorium Seri Negeri di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zaidi Johari; Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir negeri, Datuk Rahmad Mariman dan barisan exco kerajaan negeri.

Selain Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Norazlan Mohd Razali dan Timbalan Ketua Pengarah (Dasar & Strategik) Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC), Datuk Abdul Aziz Aban.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali

Dalam pada itu, Sulaiman berharap seluruh jentera pentadbiran sentiasa peka terhadap perubahan semasa dengan mengambil kira pelbagai saluran maklumat.

“Ia termasuklah maklum balas, nasihat dan aduan supaya inisiatif yang dirangka sentiasa relevan sekali gus menjadi rujukan kepada semua pihak.

“Pembangunan strategi pelan ini adalah mempertingkatkan kualiti dan imej perkhidmatan awam negeri Melaka seterusnya bersama mengekang sebarang anasir rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa di jabatan dan agensi di negeri ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1203
Kongsi :
Previous post Lelaki maut kereta terbabas
Next post Pekak tak halang anak Melaka jelajah 8,000km
Ubah saiz-+=