Sorting by

×

Pekak tak halang anak Melaka jelajah 8,000km

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

MESKIPUN berstatus orang kurang upaya (OKU) pendengaran, ia bukan penghalang buat anak jati Bertam Ulu, Melaka, Izzuan Ahmad menunggang motosikal merentasi Asia Tenggara sejauh 8,000 kilometer (km).

Dengan berbekalkan motosikal jenis Honda 125 Dash, pemuda 37 tahun itu berjaya merentasi Thailand dan Laos dalam tempoh 20 hari.

Ekspedisi itu dilakukannya bersama seorang lagi rakan dari Kuala Lumpur yang juga OKU pekak.

Izzuan yang juga ahli Persatuan Sukan Orang Pekak Melaka (MelSDeaf) berkata, walaupun dianggap serba kekurangan dari segi fizikal, namun itu tidak melemahkan semangatnya dalam menempuh cabaran luar biasa itu.

“Selepas mendapat kelulusan cuti daripada majikan, saya bersama rakan Khairul Azri memulakan ekspedisi bermotosikal terus ke Kedah.

“Sebaik tiba di Bukit Kayu Hitam, kami menyiapkan semua dokumentasi untuk memasuki Thailand kami terus ke Hatyai, Thailand untuk bermalam disana.

“Dari Hatyai bermulalah perjalanan kami yang panjang dan mencabar ke daerah-daerah di Thailand seperti Phattalung, Prachinp Khairi Khan, Mae Klong, Kanchanaburi, Tak, Umphamg, Mae Sot, Doi Bo Luang Klong, Doi Inthanon, Huay Pu Keng Kayan Village Mae Son, Pai, Chiang Mai, Mae Kachan Hot Spring hingga ke daerah segi tiga emas, Chiang Rai iaitu daerah paling utara di Thailand.

“Dari Chiang Rai kami memasuki Laos dan meneruskan perjalanan hingga ke Vientiane, dan sempat bertemu serta beramah mesra dengan rakan-rakan warga Pekak-Pekak Laos, yang mana kami telah menerima layanan, bantuan dan kerjasama yang baik,” katanya.

Izzuan Ahmad menunggang motosikal merentasi Asia Tenggara sejauh 8,000 kilometer (km).

Dia yang juga kakitangan SWM Environment Melaka berkata, walaupun berdepan cabaran seperti keletihan selain kos petrol yang tinggi di Thailand dan Laos, namun dia bersyukur tidak berdepan kerenah birokasi yang teruk sepanjang berada di negara asing itu.

Sebaliknya, mereka disambut mesra pihak berkuasa di sana yang banyak memberi sokongan sepanjang ekspedisi panjang itu.

“Alhamdulillah kami selamat tiba pada 20 Julai lalu dan pengalaman berharga ini akan terus terpahat dalam hidup saya,” katanya.

Sementara itu, MelSDeaf dalam satu kenyataan memuji kesungguhan Izzuan yang berjaya membuktikan kekurangan bukan penghalang untuk berjaya.

Malah, persatuan itu turut berpendapat bekas atlet bolasepak Pekak Melaka itu layak diberi gelaran Ikon Belia Pekak Melaka atas usahanya merealisasikan ekspedisi bermotosikal itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2043
Kongsi :
Previous post MACP fokus 77 inisiatif ke arah bebas rasuah – KM
Next post Kesidang Mas formula khas komunikasi dua hala pemimpin dan warga kerja UTeM
Ubah saiz-+=