MADANI, visi nasional bentuk bangsa Malaysia

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

AYER KEROH 25 Mei – Gagasan MADANI perlu dilihat dan disahut sebagai satu bentuk visi nasional yang difahami serta disenangi oleh semua lapisan rakyat Malaysia termasuk golongan bukan Muslim.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, MADANI adalah satu wawasan negara bagi membentuk bangsa Malaysia yang  harus difahami seluruh rakyat tanpa mengira perbezaan agama.

“Sebab itu saya cakap MADANI boleh difahami bukan sahaja pada umat Islam, tetapi juga bukan Islam di Malaysia.

“Kerana kalau satu konsep di Malaysia ini hanya diterima oleh orang Islam dan tidak dirasakan selesa oleh yang bukan Islam, ia tidak jadi nasional ‘effort’ dan nasional ‘vision’. Saya mahu MADANI ini menjadi wawasan negara yang dapat difahami,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Konvensyen Antarabangsa MADANI 2024 di sebuah hotel di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Mufti Melaka, Datuk Wira Abdul Halim Tawil dan Pegawai Kewangan Negeri yang menjalankan tugas-tugas Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Salhah Salleh.

Turut hadir Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco serta Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Berikutan itu Perdana Menteri menggesa agar semua kementerian dan jabatan supaya menjadikan MADANI sebagai satu konsep yang relevan.

“Saya gesa semua kementerian dan jabatan mengambil pendekatan ini, MADANI bukan sebagai slogan biasa, tetapi menjadi suatu konsep yang relevan dalam nilai kita,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

59
Kongsi :
Previous post Anak muda berniaga layak dapat subsidi diesel
Next post Program Rakan Muda akan dirancakkan di setiap daerah – Hannah
Ubah saiz-+=