Anak muda berniaga layak dapat subsidi diesel

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

BANDA HILIR 25 Mei – Penyasaran subsidi diesel seperti yang diumumkan kerajaan tidak memberi kesan kepada anak muda yang menjalankan perniagaan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata, golongan belia yang menjalankan perniagaan menggunakan diesel akan dikecualikan daripada penyasaran subsidi, sama seperti golongan nelayan, pekebun kecil dan pengusaha teksi.

Jelas beliau, penyasaran itu dilakukan memandangkan sebelum ini subsidi yang diberikan kerajaan banyak memberi manfaat kepada golongan kaya dan warga asing.

“Kalau ada orang mahu bangkang (penyasaran subsidi), saya akan tanya kenapa perlu kita beri subsidi kepada orang yang tidak bayar cukai iaitu 3.8 juta warga asing? Kenapa perlu kita beri sedekah kepada orang-orang yang maha kaya?

“Kita tidak naikkan (harga diesel) untuk rakyat biasa dan kita juga kecualikan untuk rakyat di Sabah dan Sarawak yang hampir menyeluruh menggunakan diesel.

“Sebab itu kita ambil keputusan (penyasaran subsidi). Jadi, saya harap anak-anak muda faham apa yang kita lakukan,” katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Belia Negara 2024 (HBN2024) Peringkat Kebangsaan di Dataran Pahlawan di Banda Hilir, hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh; Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali; Pemimpin-pemimpin Kanan Kerajaan Persekutuan; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri dan lain-lain kenamaan.

Turut bersama, Presiden Majlis Belia Malaysia, Mohd Izzat Afifi Abd Hamid dan belia-belia seluruh negara.

Dalam ucapannya, Anwar meminta anak muda memahami segala keputusan yang dilakukan kerajaan dan turut berharap agar mereka dapat menuntut keputusan yang lebih baik lagi bagi membantu golongan yang memerlukan.

“Contohnya seperti (suara yang mahukan) subsidi hanya diberikan kepada orang miskin, orang yang berhak dan mereka yang daif. Bukannya diberikan kepada golongan kaya.

“Mereka perlu mewakili golongan rakyat terbanyak, golongan yang miskin kerana untuk golongan kaya, mereka boleh diberi dengan cara insentif yang lain,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

69
Kongsi :
Previous post Aspirasi orang muda diangkat pada Bajet 2025 Negeri Melaka – KM
Next post MADANI, visi nasional bentuk bangsa Malaysia
Ubah saiz-+=