Aspirasi orang muda diangkat pada Bajet 2025 Negeri Melaka – KM

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

BANDA HILIR 25 Mei – Suara orang muda menjadi antara fokus utama yang diberi tumpuan oleh Kerajaan Negeri Melaka.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, ia memandangkan golongan belia mempunyai peranan cukup besar dalam memeta hala tuju dan mewarisi kepimpinan pada masa akan datang.

Justeru, beliau memaklumkan, Kerajaan Negeri giat melaksanakan satu lagi inisiatif baharu bagi pemerkasaan anak muda.

Menurut Ab Rauf, inisiatif itu diterjemahkan menerusi Borang Kaji Selidik Aspirasi Orang Muda melalui Google Form yang mana hasil dapatannya akan diangkat bagi merangka Bajet 2025 Negeri Melaka yang akan datang.

“Ayuh anak-anak muda, suarakan pandangan dan cadangan yang hendak direalisasikan,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Belia Negara 2024 (HBN2024) Peringkat Kebangsaan di Dataran Pahlawan di Banda Hilir, hari ini.

Sambutan itu dimeriahkan dengan kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut merasmikan HBN2024.

Hadir sama, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh; Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali; Pemimpin-pemimpin Kanan Kerajaan Persekutuan; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri dan lain-lain kenamaan.

Dalam pada itu, Ab Rauf memaklumkan Kerajaan Melaka telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi pemerkasaan generasi muda termasuk memberi tumpuan kepada aspek kebolehpasaran, ekonomi dan keusahawanan, sosial, pendidikan, agama dan akhlak.

“Antaranya, Pusat Kecemerlangan Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET Centre of Excellence) merupakan fokus utama Kerajaan Negeri dalam membangunkan Melaka sebagai pusat kecemerlangan TVET.

“Kerajaan negeri percaya, TVET mampu menyokong keperluan industri dan peluang pekerjaan di samping melahirkan modal insan berkemahiran yang akan menjana pertumbuhan ekonomi negara.

“Selain itu, Kerajaan Negeri juga menyediakan sebanyak 617 unit lot kedai dengan sewaan percuma selama setahun dan tawaran ini masih dibuka khususnya buat golongan belia,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

71
Kongsi :
Previous post Usul Suruhanjaya Gig akan dibentang di Parlimen – PM
Next post Anak muda berniaga layak dapat subsidi diesel
Ubah saiz-+=