Mafa buka jalan bangunkan atlet bola sepak wanita

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

MASJID TANAH 13 Ogos – Persatuan Bola Sepak Melaka (Mafa) komited mahu memastikan pembangunan bola sepak wanita berkembang di negeri ini.

Exco Mafa, Dr. Siti Faidul Maisarah Abdullah berkata, pihaknya akan terus memperkasa inisiatif dan mencari alternatif bagi memastikan pelapis pasukan bola sepak wanita dapat digilap.

Menurutnya, pihaknya turut mengharapkan penglibatan generasi muda terutama dalam kalangan pelajar sekolah untuk bergiat dalam sukan tersebut.

“Kita cuba cari alternatif lain bagaimana untuk mencari lebih ramai lagi atlet untuk dilatih memandangkan di Melaka kita masuh kehausan atlet mewakili pasukan bola sepak wanita ini.

“Selepas ini kita akan tambah pelbagai perancangan lain seperti mewujudkan lebih banyak penganjuran liga-liga untuk menyemarakkan sukan bola sepak wanita,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Kejohanan Bola Sepak Perempuan Bawah 12 Tahun Piala Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di Sekolah Kebangsaan (SK) Datuk Tambichik Karim, di sini, semalam.

Terdahulu, kejohanan anjuran Mafa dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Alor Gajah, Firhan Sports dan Mamee Double Decker (M) Sdn Bhd telah dirasmikan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Mengulas mengenai kejohanan tersebut, Dr. Siti Faidul Maisarah berkata, penganjuran julung kali itu menerima sambutan menggalakkan apabila disertai 28 buah sekolah rendah dari seluruh Negeri Melaka.

Katanya, usaha mengasah bakat murid dilihat menerima sambutan positif dalam kalangan pihak sekolah dan ibu bapa dan berhasrat mengembangkan kejohanan itu ke peringkat sekolah menengah.

“Konsep yang kita gunakan ini adalah merupakan dalam teras pembangunan di mana kita angkat perkara ini untuk dibangunkan ke peringkat bangku sekolah agar ia mampu digilap ke peringkat yang lebih tinggi.

“Perkara ini takkan berakhir di sini, tetapi Mafa mempunyai perancangan yang lebih teliti untuk kita majukan dalam pembangunan sukan ini pada masa akan datang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1242
Kongsi :
Previous post Boling satukan alumni SMK Seri Mahkota Umbai
Next post Pelukis karikatur tempatan perlu seiring perkembangan digital – Datuk Lat
Ubah saiz-+=