MAFI harap isu Musang King di Raub tidak jejas pengeluaran produk durian 

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

JASIN 11 Sept. – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI)  tidak akan campur tangan terhadap isu pencerobohan pekebun durian Musang King di Raub, Pahang kerana ia di luar bidang kuasa kementerian itu.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1 Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata kementerian itu tidak mempunyai kuasa mutlak untuk menyelesaikan konflik antara Kerajaan Pahang dan pekebun tersebut yang berlarutan hampir 40 tahun itu kerana ia di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Bagaimanapun katanya, pihaknya bersedia memberi bantuan dan khidmat nasihat membabitkan asas pertanian kepada pihak yang berkenaan sekiranya diperlukan.

“Air dan tanah adalah hak mutlak kerajaan negeri. “Bagaimanapun kita mengalu-alukan apa sahaja usaha dilakukan untuk menghasilkan produk pertanian kerana mereka juga menyumbang kepada industri makanan.

“Dalam masa sama kita mesti menghormati keputusan dan undang-undang kerajaan negeri,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Hari Ladang dan Majlis Penyerahan Peruntukan Tahun 2020 peringkat Daerah Jasin di Dewan Alamanda, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Norhizam Hassan Baktee dan Timbalan Ketua Pengarah Pertanian, Eliyas Saad.

Pada 1 Ogos lalu, Kerajaan Pahang bertindak tegas untuk menangani kegiatan pencerobohan hutan di Raub dengan aktiviti penanaman pokok durian Musang King yang diusahakan secara haram di atas tanah kerajaan negeri.

Tindakan itu dilakukan berikutan kerajaan negeri mengalami kerugian kira-kira RM30 juta dalam tempoh 10 tahun akibat kehilangan hasil cukai tanah dari kebun haram termasuk di kawasan hutan simpan.

Antara kawasan dusun durian di Raub yang terbabit ialah Hutan Simpan Gunung Benom, sekitar Sungai Ruan, Sungai Chalit serta Tranum dan Tras.

Mengulas lanjut Ahmad berkata, konflik antara kedua-dua pihak itu diharap dapat diselesaikan dengan secepat mungkin bagi membolehkan hasil tanaman pekebun terbabit dapat terus dieksport ke luar negara.

Beliau berkata, durian Musang King adalah antara produk pertanian yang mendapat permintaan tinggi dalam kalangan penggemar buah berkenaan.

“Permintaan Musang King adalah terlalu tinggi ketika ini. Sebab itu saya berharap isu di Raub tidak mengganggu pekebun durian di kawasan untuk menghasilkan produk mereka,” katanya.

Views:

445
Kongsi :
Previous post MUSA kunjung hormat Presiden FAM
Next post Bayi parah tangan digigit anjing
Ubah saiz-+=