Magis gesekan biola Martin Looi

Masa Membaca:2 Minit, 25 Saat

AYER KEROH 15 Disember – Alunan muzik yang dihasilkan dari gesekan biola seorang jejaka berusia 25 tahun ini nyata mampu mencairkan hati si pendengar.

Kemerduan irama yang dihasilkan daripada gesekan itu melayakkan anak muda bernama Martin Looi menempa nama sebagai pemuzik disegani dalam industri muzik tanah air.

Martin yang merupakan anak jati Ujong Pasir berkata, minatnya dalam seni muzik dilentur sejak berumur lima tahun hasil dorongan keluarganya yang juga merupakan pemuzik.

Jejaka kacukan Cina dan Portugis itu membuktikan berkat usaha kerasnya dalam mencipta kelainan membuahkan hasil apabila bakatnya semakin dikenali dan pernah mengiringi persembahan ramai artis terkenal tanah air.

Menurut Martin, membesar dalam keluarga pemuzik banyak membantu dalam melancarkan perjalanan kariernya.

“Saya berasal dari sebuah keluarga yang mempunyai latar belakang sebagai pemain alat muzik, di mana ibu saya dahulu seorang pemain organ di sebuah gereja manakala ayah pula seorang pemain alat muzik brass.

“Meskipun pada asalnya saya menjurus kepada bermain gitar tetapi ibu mahu saya didedahkan dengan biola manakala kakak saya pula didedahkan dengan piano.

“Bagi ibu, biola dan piano adalah satu gabungan alat muzik yang menarik dan sejak berusia muda kami telah diberi pendedahan tentang dunia muzik ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurut Martin, walaupun biola sinonim sebagai irama muzik klasik, namun dia memilih untuk membawa pembaharuan dengan menampilkan sentuhan kontemporari yang lebih moden.

Menurutnya, pembaharuan itu perlu bagi memastikan seni muzik itu diterima oleh segenap lapisan masyarakat.

“Kebiasannya biola dikaitkan dengan sentuhan klasik dan tradisional jadi saya mahu mengubah persepsi itu bahawa dengan irama biola juga boleh dimodenkan dengan beberapa genre yang lain.

“Saya mahu ketengahkan irama biola ini kepada sentuhan kontemporari seperti jazz, R&B, hip-hop dan pop supaya ia lebih menarik dan mengikut peredaran zaman,” ujarnya.

Photo1707377856
GESEKAN biola yang menambat hati si pendengar. Foto: MR. AZLI

Sejak berkecimpung dalam arena muzik, Martin pernah mengiringi persembahan beberapa artis tempatan.

Malah, dia juga pernah terlibat dalam penganjuran orkestra di luar negara seperti Australia dan Singapura, selain berpengalaman sebagai pemuzik studio selepas menamatkan pengajian dalam jurusan kejuruteraan audio di Institut Muzik Australia, Perth.

“Sepanjang pengajian saya pernah diberi peluang bergandingan bersama beberapa nama seperti Aubrey Suwito, Alyph, Sonaone, Joe Flizzow, Vince Chong dan Jaclyn Victor.

“Kini, selepas menamatkan pengajian saya tetap meneruskan kerjaya ini dan banyak menghiburkan peminat di dalam penganjuran makan malam gala, malam anugerah, ulang tahun, pelancaran, acara persendirian dan korporat,” katanya.

Menurut Martin, selain persembahan, dia juga telah menghasilkan dua buah album iaitu ‘Maddy’ pada 2020 dan ‘Sugary’ yang baru dilancarkan pada Disember lalu.

“‘Sugary’ merupakan sebuah koleksi album EP (Extended Play) yang dikeluarkan di setiap platform muzik seperti ‘Spotify’ dan ‘Youtube Music’ dan ia merupakan koleksi kedua dihasilkan bersama kakak saya selepas ‘Maddy’.

“Beza kedua-dua album ini adalah ‘Maddy’ dihasilkan untuk mengekalkan keaslian irama klasik biola manakala ‘Sugary’ adalah sentuhan daripada muzik moden dan kontemporari,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1058
Kongsi :
Previous post TMM2024: Kastam Melaka pergiat usaha banteras penyeludupan
Next post Gunung Melaka bukan ‘biasa-biasa’
Ubah saiz-+=