Mahkamah perintah lelaki mengamuk di lebuh raya dihantar ke Hospital Bahagia

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

KUALA KANGSAR, 17 Jun – Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan seorang lelaki yang sebelum ini tular mengamuk di Lebuhraya PLUS di Kuala Kangsar, dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, untuk tempoh 30 hari bagi pemantauan dan pemeriksaan psikiatri.

Hakim Rohaida Ishak mengeluarkan perintah itu terhadap Zainordin Mohamed, 36, selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Nur Asmaniza Muhamad supaya tertuduh dihantar ke hospital berkenaan bagi pemeriksaan mengikut Seksyen 342 Kanun Acara Jenayah.

Nur Asmaniza berkata Zainordin tidak dalam keadaan waras sewaktu tempoh penahanan remannya, justeru perlu menjalani pemeriksaan serta pemeriksaan di hospital tersebut.

Zainordin mengaku bersalah atas pertuduhan itu serta dua lagi pertuduhan dan sewaktu pertuduhan dibacakan kepadanya, dia kelihatan bercakap seorang diri dalam keadaan yang tidak stabil dan sehingga diminta untuk menenangkan diri.

Bagi pertuduhan pertama, Zainordin didakwa melakukan khianat iaitu menendang cermin sisi sebelah kanan sebuah kereta sehingga menyebabkan kerugian sebanyak RM200.

Pertuduhan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan, yang boleh dipenjara tidak kurang setahun atau lebih lima tahun atau denda dan kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Zainordin sebagai pemandu sebuah kereta jenis Toyota Vios, didakwa telah memberhentikan kenderaan tersebut di lorong kanan dalam kedudukan yang mungkin menyebabkan halangan kepada pengguna lain.

Pertuduhan mengikut Seksyen 48 (1) Akta Pengangkutan Jalan dan jika disabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM5,000 atau dipenjarakan tidak kurang setahun atau kedua-duanya sekali.

Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan di KM 253 Lebuhraya Utara Selatan Kuala Kangsar di sini, pada 6.09 petang pada 12 Jun lepas.

Bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa memasukkan dadah jenis ganja THC (Tetra Hydrocannibol) pada diri sendiri di pejabat narkotik Ibu Pejabat Daerah Kuala Kangsar pada 3.40 petang, 14 Jun lepas.

Pertuduhan itu mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000 dan pengawasan polis tidak lebih tiga tahun.

Hakim menetapkan 14 Julai untuk sebutan semula semua kes itu.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1984
Kongsi :
Previous post Kes Siti Bainun: Bella hadir di mahkamah untuk sesi pengecaman
Next post SUKIPT 2022 pada Ogos di UPSI
Ubah saiz-+=