
MAIM TAWAR RUMAH SEWA MURAH UNTUK ASNAF, B40
PENGKALAN BATU 8 Mei – Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) menyediakan 100 rumah sewa khas untuk asnaf dan golongan B40 di Rimbunan Kaseh, Serkam.
Setiausaha MAIM Shaifulfazlee Mohamad berkata, daripada jumlah tersebut 20 daripadanya sudah disewakan dengan kadar sewaan RM350 sebulan untuk asnaf dan RM400 untuk bukan asnaf.
Beliau memaklumkan, mereka yang memerlukan boleh membuat permohonan menerusi Unit Sewaan MAIM di Bahagian Pembangunan Hartanah.
“Namun, buat masa ini terdapat kira-kira 20 buah rumah perlu dibaik pulih atas faktor kerosakan disebabkan vandalisme dan pihak MAIM kini sedang dalam usaha untuk membaik pulih rumah berkenaan bagi membolehkan ia dimanfaatkan oleh golongan memerlukan.
“Jika menerima lebih banyak permohonan untuk menyewa rumah itu, kita akan menyegerakan kerja baik pulih di rumah-rumah yang mengalami kerosakan agar penyewa dapat mendiami kediaman itu dengan lebih selesa,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Menurut Shaifulfazlee, selain rumah, MAIM turut memiliki beberapa premis di Jonker Street serta tanah-tanah untuk disewakan kepada mereka yang berminat.
Jelas beliau, untuk sewaan premis juga orang ramai serta mereka yang berminat boleh berhubung dengan Unit Sewaan MAIM.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.