KARNIVAL FALAK TARIK LEBIH 7,000 PENGUNJUNG

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

TANJUNG BIDARA 14 September – Penganjuran sulung Karnival Falak Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 mencatat sambutan memberangsangkan apabila lebih 7,000 pengunjung membanjiri Kompleks Falak Al-Khawarizmi sepanjang tiga hari penganjuran.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pencapaian itu membuktikan ilmu falak mempunyai daya tarikan tersendiri dalam mendekatkan masyarakat kepada ilmu berkaitan astronomi Islam serta kebesaran ciptaan Allah SWT.

“Sepanjang tiga hari karnival ini, lebih 7,000 pengunjung telah membanjiri Kompleks Falak Al-Khawarizmi menerusi 20 program dan pengisian, sekali gus merekodkan penyertaan 30 agensi, institusi serta komuniti Falak dari seluruh negara.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada Jabatan Mufti Negeri Melaka, bersama seluruh agensi dan pihak yang telah menjayakan karnival ini sejak 11 September lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pembukaan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Parlimen Masjid Tanah: Kampung Kita Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara dan Penutup Karnival Falak Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 di Kompleks Falak Al-Khawarizmi, di sini, semalam.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras WRUR Datuk Fairul Nizam Roslan serta barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Turut hadir, Mufti Kerajaan Negeri Datuk Wira Abdul Halim Tawil; Pegawai Daerah Alor Gajah Datuk Sabrina Thalas serta lain-lain kenamaan.

Beliau berkata, penganjuran karnival berkenaan bukan sekadar memperkenalkan ilmu falak kepada masyarakat, malah membuka ruang untuk mereka memahami kepentingannya dalam kehidupan seharian.

Katanya, ilmu falak mempunyai kaitan rapat dengan pelbagai aspek kehidupan umat Islam termasuk penentuan waktu solat, arah kiblat serta penentuan permulaan Ramadan dan Syawal.

“Daripada penentuan waktu solat, arah kiblat, permulaan Ramadan dan Syawal hinggalah kepada pemahaman tentang perjalanan alam semesta, ilmu falak mengajar kita bahawa setinggi mana pun manusia mendongak ke langit, akhirnya kita akan menemukan tanda-tanda kebesaran Allah SWT,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

304
Kongsi :
Previous post WRUR BUKAN PESTA KERAJAAN, TETAPI MEDAN RAKYAT
Next post MELAKA NEGERI DIGITAL, URUSAN BAYI HINGGA WARGA EMAS LEBIH LANCAR