WRUR BUKAN PESTA KERAJAAN, TETAPI MEDAN RAKYAT

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

TANJUNG BIDARA 14 September – Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) bukan sebuah pesta atau acara Kerajaan Negeri, sebaliknya menjadi medan rakyat untuk menyuarakan masalah, mendapatkan jawapan dan memastikan setiap urusan yang dibangkitkan diusahakan penyelesaiannya.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pendekatan itu selari dengan gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) yang menitikberatkan setiap inisiatif diterjemahkan menerusi tindakan sebenar dan penyelesaian yang dapat dirasai masyarakat.

“Inilah masanya kita duduk dalam satu gelanggang, bercakap secara terus, mencari jalan dan menggerakkan penyelesaian.

“Kerana saya mahu tegaskan di sini, Wakil Rakyat Untuk Rakyat bukan pesta Kerajaan. Wakil Rakyat Untuk Rakyat adalah medan rakyat.

“Minggu ini, rakyat tidak perlu mencari Kerajaan. Sebaliknya Kerajaan yang datang mencari rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pembukaan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Parlimen Masjid Tanah: Kampung Kita Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara dan Penutup Karnival Falak Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 di Kompleks Falak Al-Khawarizmi, di sini, semalam.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras WRUR Datuk Fairul Nizam Roslan; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.

Sehubungan itu, Ab Rauf mengarahkan semua jabatan dan agensi yang terlibat dalam WRUR supaya mengambil tindakan susulan terhadap setiap aduan yang diterima dan tidak sekadar hadir membuka kaunter sepanjang program.

“Jangan sekadar hadir, buka kaunter dan pulang. Catat setiap aduan. Tentukan pegawai bertanggungjawab. Tetapkan tempoh tindakan. Dan pastikan rakyat menerima jawapan,”tegasnya.

Menurut beliau, kejayaan WRUR tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah program yang dilaksanakan atau bilangan kaunter yang dibuka, sebaliknya berdasarkan jumlah urusan rakyat yang berjaya diselesaikan.

“Kerana akhirnya ukuran kejayaan WRUR bukan berapa banyak program dilaksanakan, berapa banyak kaunter dibuka, tetapi berapa banyak urusan rakyat yang dapat diselesaikan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

469
Kongsi :
Previous post WRUR TANJUNG BIDARA JADI GELANGGANG KEBERSAMAAN RAKYAT, KERAJAAN