Main snuker ketika PKP, empat lelaki kena kompaun

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

AYER KEROH 28 Mei – Tindakan empat lelaki yang leka bermain snuker ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di sebuah premis tanpa lesen di Telok Mas mengundang padah apabila dikenakan kompaun RM1,500 setiap seorang dalam Op Pemantauan Prosedur Operasi Standard (SOP) 3.0 petang, semalam.

Empat lelaki berusia 22 hingga 27 tahun itu dicekup pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka pada jam 5.50 petang.

Polis turut menahan seorang lelaki berusia 27 tahun yang juga penjaga premis pusat snuker itu kerana dipercayai menjalankan operasi tanpa lesen.

ANGGOTA polis menjalankan siasatan dan mencatat butiran empat lelaki di premis snooker. Foto- sumber.

Ketua JSJ negeri Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, pihaknya membuat serbuan di premis snuker terletak di tingkat satu sebuah bangunan lot kedai yang disyaki beroperasi tanpa lesen.

Katanya, siasatan awal keempat-empat lelaki berkenaan menggunakan pintu utama untuk memasuki premis.

“Dalam serbuan itu, polis turut merampas peralatan bermain snuker dan bukti catatan bayaran pemain,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Sukri berkata siasatan lanjut mendapati premis berkenaan baru sahaja beroperasi sejak dua hari lalu dalam tempoh PKP 3.0.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman

“Susulan itu, semua lelaki tersebut dikenakan kompaun mengikut Perkara 16 Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (LLDKTJ) 2021.

“Penjaga premis dikompaun RM10,000 manakala empat pemain masing-masing dikenakan RM1,500,” katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati dua daripada empat pemain berkenaan masing-masing mempunyai rekod lampau membabitkan jenayah dan dadah.

Menurutnya, semua lelaki berkenaan dibawa ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Melaka Tengah untuk disiasat mengikut Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 2001.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1048
Kongsi :
Previous post Peningkatan kluster di tempat kerja membimbangkan- Dr Noor Hisham
Next post Anak nafi Isa Samad meninggal dunia
Ubah saiz-+=