Majikan jangan caj pekerja, vaksin industri percuma

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

 

KUALA LUMPUR 24 Jun – Majikan yang terlibat dengan program pusat pemberian vaksin (PPV) Industri di bawah Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) dilarang memindahkan kos pentadbiran vaksin kepada pekerja melalui potongan gaji pekerja.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, kos pentadbiran vaksin yang merangkumi penyediaan PPV dikendalikan pihak swasta dan perkhidmatan pengamal perubatan swasta perlu ditanggung majikan.

“Saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa suntikan vaksin di bawah PICK adalah diberikan secara percuma kepada semua penduduk Malaysia.

“Prinsip yang sama juga terpakai untuk program PPV Industri di bawah PIKAS yang telah digerakkan untuk mengawal penularan wabak COVID-19 melalui Fasa 4 PICK,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Khairy berkata tiada bayaran boleh dikenakan kepada orang ramai yang ke PPV di bawah pengamal perubatan swasta untuk imunisasi COVID-19 serta tiada kos rundingan boleh dikenakan oleh pengamal perubatan swasta ke atas orang ramai yang hadir atas janji temu yang telah diberikan untuk divaksinasi.

Sementara itu, Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) dalam kenyataan berasingan berkata, badan itu telah membuat dua laporan polis berikutan dakwaan aktiviti penjualan vaksin.

“Kami difahamkan beberapa tangkapan telah dibuat dan butiran lanjut akan diumumkan oleh PDRM (Polis Diraja Malaysia) dalam masa terdekat.

“CITF ingin menegaskan bahawa tiada vaksin atau slot janji temu boleh dijual sama sekali. Pemberian suntikan vaksin adalah dilaksanakan secara percuma kepada semua penduduk Malaysia di bawah PICK,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai diminta untuk terus melaporkan kepada polis sekiranya ada tawaran penjualan vaksin kepada mereka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

821
Kongsi :
Previous post PGA7 rampas 28 ekor lembu bernilai lebih RM282,000, dipercayai diseludup
Next post Ada yang nak lari balik, takut divaksin!
Ubah saiz-+=