Majoriti Rancangan Tebatan Banjir di Melaka mula dilaksana – KM

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

REMBIA 14 November – Pelbagai projek jangka pendek dan panjang menggunakan peruntukan Kerajaan Negeri serta Persekutuan dilaksanakan dalam usaha berterusan menyelesaikan permasalahan banjir.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, setakat ini Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk melaksanakan sembilan inisiatif seperti Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Melaka yang benilai RM1 bilion.

Menurutnya antara majoriti projek berkenaan sudah mula dilaksanakan seperti Projek RTB Alor Gajah Fasa 1, RTB Sungai Duyong, RTB Bandar Jasin, RTB Bandar Merlimau dan Projek Menaik Taraf Kolam Tebatan Banjir Krubong-Durian Tunggal.

“Sebanyak 124 lokasi ‘hotspot’ banjir dikenal pasti, iaitu 59 di daerah Melaka Tengah, Jasin (42), manakala Alor Gajah (23). Setakat ini sebanyak 209 pusat pemindahan sementara (PPS) disediakan sepanjang tahun untuk memastikan keselamatan dan menjaga kebajikan mangsa.

“Saya difahamkan bencana banjir setakat ini telah menjejaskan 4,177 mangsa di daerah Melaka Tengah, Jasin (355) dan Alor Gajah (342).

“Kerajaan Negeri juga amat bersimpati dengan kehilangan seorang anggota bomba yang meninggal dunia ketika misi menyelamat di Kampung Sungai Putat ketika bencana banjir pada Oktober 2021,” katanya.

Beliau berkata, demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Inisiatif Kerajaan Negeri Melaka Perkhidmatan Ambulans dan Penyerahan Bot Misi Menyelamat di Dataran Keris, Alor Gajah, di sini, hari ini.

photo1668399250 (1)
SULAIMAN dan kenamaan melihat bot penyelamat yang disediakan Kerajaan Negeri bagi membantu misi penyelamatan banjir. Foto Iqmal Haqim Rosman

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir negeri, Datuk Rahmad Mariman; Exco Kesihatan dan Anti Dadah Negeri Dr Muhamad Akmal Saleh; Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri, Datuk Kalsom Nordin; Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Rembia Datuk Muhammad Jailani Khamis serta Pegawai Kewangan Negeri Datuk Salhah Salleh.

“Sesungguhnya Kerajaan Negeri sentiasa mengambil berat dan prihatin terhadap mangsa banjir terutama sepanjang tempoh Monsun Timur Laut dijangka berlarutan hingga Mac 2023,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2499
Kongsi :
Previous post Perkhidmatan ambulans percuma di semua 28 DUN Melaka – KM
Next post ‘Toleh ke belakang, lihat apa gadaian kita selama ini’ – Hishammuddin
Ubah saiz-+=