Makmal Forensik PDRM akan diperkasa selari peredaran zaman

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

KUALA LUMPUR 30 Jun – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melakukan penambahbaikan dan memperkasakan Bahagian D10 (Makmal Forensik) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman selaras dengan perkembangan dan trend jenayah semasa.

Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, antara perancangan strategik yang sedang dan telah dilaksanakan termasuk penggunaan teknologi tiga dimensi (3D) dalam rekonstruksi tempat kejadian dalam memantapkan siasatan saintifik dan memantapkan kemahiran dan kompetensi perkhidmatan melalui kursus dan latihan dalam dan luar negara.

“Selain itu, PDRM juga akan memperkasakan Unit Siasatan Tempat Kejadian dengan permohonan perolehan kenderaan yang melibatkan 33 buah kenderaan pacuan empat roda yang dilengkapi dengan peralatan bantuan siasatan di tempat kejadian jenayah,” katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke Bahagian Forensik (D10) dan Bahagian Databank DNA (D13) JSJ di Maktab PDRM Cheras, di sini hari ini.

Abd Jalil berkata Unit Digital Forensik juga akan diperkasakan sebagai peneraju utama dalam siasatan kes-kes jenayah siber.

“Antara rancangan PDRM adalah untuk membina sebanyak 14 buah Makmal Forensik Digital Satelit di setiap kontinjen polis negeri dan menubuhkan sebuah Makmal Forensik Siber Seksual di Bukit Aman,” katanya.

Beliau berkata penambahbaikan berkenaan perlu dilakukan bagi meningkatkan keupayaan siasatan saintifik PDRM sekali gus meningkatkan kadar penyelesaikan kes, pertuduhan dan pendakwaan kes di mahkamah.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1725
Kongsi :
Previous post PDRM ulangi cadangan sampel DNA bayi diambil disimpan dalam bank data
Next post Tiada kenaikan yuran pengajian IPT- Noraini
Ubah saiz-+=