Malaysia negara makmur tetapi banyak ‘bocor’ – Anwar

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

KOTA BHARU, 18 Jun – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu penjawat awam terutama badan penguatkuasa termasuk di Kelantan, supaya memberi tumpuan kepada ketirisan yang berlaku melibatkan barangan bersubsidi.

Beliau berkata subsidi seharusnya dinikmati oleh golongan misikin, namun banyak yang ‘disakau’

“Negara ini makmur tetapi bocornya banyak, percayalah subsidi itu sendiri yang maksudnya untuk orang miskin tetapi disakau, ini banyak (berlaku). Minyak masak disakau, diesel disakau jadi sampai bila nak cukup?

“Sebab itu badan penguatkuasa termasuk di Kelantan kena perhati, laksana dengan baik tak boleh lagilah kita lakukan begitu,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Khas Kepada Penjawat Awam Negeri Kelantan di Dewan Besar Balai Islam Lundang, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Dr Zulkapli Mohamed, Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan Datuk Nazran Muhammad.

Mengulas lanjut, Anwar turut memberi contoh subsidi elektrik yang seharusnya dinikmati rakyat biasa kini turut dinikmati oleh golongan berpendapatan tinggi.

“Berapa subsidi elektrik? RM30 bilion kalau tak dikawal tahun ini. Jadi kalau subsidi elektrik sebegitu rupa macam mana nak bina sekolah dan universiti baru?.

“Sebab itu baru-baru ini kita batalkan keputusan sebelum ini yang mahu batalkan sebahagian subsidi elektrik dan naikkan kadar elektrik. Saya kata tak boleh kalau dinaikkan kadar elektrik bagi rakyat yang tengah susah ini jadi satu beban.

“Jadi apa pilihan kita ada? Bagi yang terkaya kita naikkan (kadar elektrik) bagi rakyat tidak dinaikkan,” katanya.

Justeru itu, Anwar juga mahu penjawat awam membantu beliau memberi penerangan mengenai dasar-dasar yang telah dilaksanakannya termasuk melibatkan cukai dan subsidi.

“Dasar-dasar ini kadang-kadang sukar difahami kerana tidak dijelaskan dengan sepenuhnya dan penjawat awam sebagai suara dan pelaksana kerajaan harus faham, saya tidak berhasrat naikkan apa-apa cukai yang menyentuh kedudukan rakyat berpendatan rendah, itu jelas.

“Tetapi saya terpaksa naikkan cukai ke atas orang kaya, baik elektrik, air, pergi ke Mekah atau diesel dan minyak,” katanya.

— BERNAMA

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1122
Kongsi :
Previous post Tarikan belon udara di Klebang
Next post TDM kaji penambahbaikan skim perkhidmatan Askar Wataniah
Ubah saiz-+=