
MALAYSIA PERKUKUH KEDUDUKAN DALAM INDUSTRI TENAGA GLOBAL – PMX
ALOR GAJAH 24 Jun – Malaysia kini memiliki jaminan bekalan gas antara yang terbesar di dunia, sekali gus memperkukuh kedudukan negara sebagai pemain penting dalam industri tenaga global.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pencapaian itu diperoleh hasil keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap Malaysia dan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dalam mengurus serta membangunkan sumber tenaga negara.
Menurutnya, Malaysia terpaksa bersaing dengan syarikat minyak dan gas gergasi dunia bagi mendapatkan hak penerokaan beberapa telaga gas utama, namun akhirnya berjaya memperoleh kepercayaan untuk menguruskan sumber berkenaan.
“Saya sangat terkesan dan terharu, ini bukan untuk generasi saya sahaja, tetapi untuk generasi anak-anak kita di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyampaikan amanat pada Sesi Santai Mesra YAB Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara Bersama Warga Perkhidmatan Awam Zon Selatan di Dewan Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi JKR (CREaTE), di sini, hari ini.
Hadir sama Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz; Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Wira Azhar Arshad serta kenamaan lain.
Anwar berkata, keyakinan diberikan kepada Malaysia itu bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya hasil kestabilan politik negara, kejelasan dasar kerajaan serta keupayaan jentera pentadbiran melaksanakan dasar secara berkesan.
Katanya, negara yang memiliki sumber tenaga mempunyai kelebihan strategik tersendiri dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik dunia ketika ini.
“Ini semua ada kaitan dengan bagaimana kita berkhidmat, bagaimana kita menyediakan diri dan mengapa kestabilan politik itu kritikal.
“Mesti ada kejujuran dalam dasar dan keberkesanan dalam pelaksanaannya. Semua ini perlu dirangkum sebagai satu usaha yang menyeluruh,” katanya.
Menurutnya, ketika lawatan ke Jepun baru-baru ini, Perdana Menteri negara itu menyatakan penghargaan kerana Malaysia mampu menjamin bekalan gas kepada negara berkenaan bagi tempoh sehingga 20 tahun.
“Ini menunjukkan Malaysia mempunyai kedudukan penting dalam sektor tenaga dan diyakini sebagai rakan strategik yang boleh dipercayai.
“Kekuatan Petronas serta perancangan tenaga negara yang berterusan turut menyumbang kepada usaha menjadikan Malaysia sebagai hab pemprosesan minyak dan gas yang penting di rantau ini,” katanya.
Sebagai rekod, Malaysia menerusi Petronas akan membekalkan dua juta tan gas asli cecair (LNG) setahun kepada syarikat utiliti Jepun (JERA) di bawah perjanjian jangka panjang selama 20 tahun yang dijadual bermula pada 2028.
Perjanjian itu mencerminkan keyakinan Jepun terhadap Malaysia sebagai pembekal tenaga yang stabil, selain mengukuhkan hubungan strategik kedua-dua negara dalam sektor tenaga serta memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai antara pemain utama industri tenaga di rantau Asia.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

