Malaysia pertimbang pemerolehan vaksin COVID-19 CanSino satu dos

Masa Membaca:2 Minit, 26 Saat

PUTRAJAYA 8 Mac. – Malaysia mungkin akan meneruskan proses pemerolehan vaksin COVID-19 CanSino dari China yang merupakan vaksin satu dos, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata vaksin CanSino itu merupakan pilihan lebih baik daripada vaksin Johnson & Johnson, yang juga satu dos, memandangkan syarikat farmaseutikal Amerika Syarikat itu hanya dapat menghantar bekalan vaksin pada suku keempat tahun ini.

“…jadi kita akan percepatkan rundingan dengan CanSino supaya kita dapat vaksin satu dos dalam portfolio kita,” katanya pada sidang media bersama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba mengenai perkembangan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, di sini, hari ini.

Menurut laporan media, China melancarkan vaksin COVID-19 satu dos, Ad5-Ncov, yang merupakan vaksin vektor adenovirus dibangunkan secara kerjasama antara syarikat bioteknologi China CanSino Biologics dan sekumpulan penyelidik.

Malaysia setakat ini telah mendapat akses bekalan vaksin COVID-19 melalui fasiliti COVAX dan pembelian awal daripada lima pengeluar vaksin COVID-19 termasuk vaksin dua dos merangkumi vaksin syarikat Pfizer-BioNTech, AstraZeneca, Sinovac Life Sciences Co Ltd (Sinovac) serta CanSinoBIO, dan vaksin satu dos daripada Sputnik V.

Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, Malaysia mungkin juga tidak akan meneruskan proses pemerolehan vaksin COVID-19 Johnson & Johnson dan perkara itu akan dimuktamadkan pada mesyuarat Khamis ini.

“Kita mungkin tidak meneruskannya. Mereka hanya dapat memberikan dua juta dos pada akhir tahun ini dan bagi kita, sudah terlambat,” katanya.

Beliau berkata kerajaan juga dalam usaha mengadakan rundingan untuk membawa masuk vaksin buatan Novavax dari Amerika Syarikat yang ujian klinikal dijalankan di United Kingdom mendapati vaksin dua dos itu mempunyai tahap keberkesanan sebanyak 89.3 peratus.

Khairy berkata setakat ini Malaysia telah menerima 520,650 dos vaksin Pfizer-BioNTech dan akan menerima bekalan tambahan vaksin itu pada 11 Mac ini.

Bagi vaksin Sinovac pula, 100,000 dos bekalan produk akhir vaksin dari Beijing itu akan diterima pada 15 Mac ini diikuti tambahan 100,000 dos produk akhir pada 19 Mac.

Khairy berkata beliau akan menjadi individu pertama yang akan menerima suntikan vaksin Sinovac.

Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) pada 2 Mac meluluskan pendaftaran secara bersyarat bagi tiga vaksin COVID-19 untuk kegunaan semasa bencana iaitu COVID-19 Vaccine AstraZeneca Solution for Injection; CoronaVac Suspension for Injection – Sinovac; dan COMIRNATY Concentrate for Dispersion for Injection.

Sementara itu, Dr Adham yang ditanya sama ada telah menerima laporan mengenai kesan sampingan selepas suntikan vaksin COVID-19, berkata tiada kes serius dilaporkan berlaku dalam kalangan penerima vaksin.

Katanya terdapat kesan minimum seperti sakit lengan dan situasi tersebut tidak membimbangkan.

Setakat ini, seramai 139,720 orang telah diberi vaksin dos pertama jenis Pfizer-BioNTech.

Ditanya mengenai penerima vaksin dibenarkan ke luar negara, Dr Adham berkata KKM masih menunggu panduan terkini Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk melihat tempoh yang sesuai untuk proses kuarantin.

Kaedah sedia ada seperti penjarakan sosial dan pemakaian pelitup muka masih digunakan untuk menangani COVID-19, katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

332
Kongsi :
Previous post Janji temu penerima vaksin tidak tersenarai dalam fasa pertama dibatalkan
Next post COVID-19 : 517 individu ditahan langgar SOP
Ubah saiz-+=