Janji temu penerima vaksin tidak tersenarai dalam fasa pertama dibatalkan

Masa Membaca:1 Minit, 59 Saat

PUTRAJAYA 8 Mac. – Janji temu mereka yang tidak tersenarai dalam fasa pertama penerima vaksin COVID-19 telah dibatalkan susulan aduan pemberi maklumat berkaitan isu memotong giliran, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin.

Menurut beliau yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi kira-kira 200 aduan telah diterima berkaitan isu memotong giliran senarai penerima vaksin setakat ini dan dalam satu aduan pada 4 Mac, terdapat juga senarai mereka yang tidak tergolong dalam fasa pertama.

“Apabila saya semak jawapan yang diberi, mereka sudah selesai beri suntikan kepada barisan hadapan kesihatan, maka mereka tambah individu daripada agensi yang tidak tersenarai dalam fasa pertama.

“Atas aduan tersebut kita telah membatalkan semua janji temu daripada mereka yang tidak tersenarai dalam fasa pertama,” katanya pada sidang media bersama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba mengenai perkembangan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, di sini hari ini.

Khairy berkata antara aduan turut diterima adalah berkaitan staf bahagian kecemasan hospital yang tidak tersenarai sebagai penerima fasa pertama, namun isu itu telah diperbetulkan.

“Sistem whistle-blower (pemberi maklumat) ini memberi kesan dan membolehkan kerajaan membuat pembetulan kepada beberapa insiden,” katanya.

Khairy berkata beliau telah mengarahkan dos-dos yang sepatutnya diberikan kepada barisan hadapan, namun dirancang diberikan kepada mereka yang tidak tersenarai sebagai barisan hadapan, diagihkan semula ke kawasan yang belum selesai proses vaksinasi bagi barisan hadapan.

Mengenai perkembangan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy berkata seramai 139,720 orang telah diberi vaksin dos pertama jenis Pfizer-BioNTech.

Seramai 3,832,976 orang telah mendaftar untuk program imunisasi itu, dengan 3,658,538 daripadanya mendaftar melalui aplikasi MySejahtera, 173,575 melalui laman sesawang vaksincovid.gov.my dan 863 melalui talian penting, katanya.

Lima negeri mencatat vaksinasi tertinggi iaitu Sarawak dengan 22,140 orang, diikuti Pahang (14,473), Selangor (12,336), Kelantan (11,927) dan Sabah (11,739).

“Pendaftaran akan terus meningkat dan kita sasar lima juta pendaftaran dalam dua minggu lagi terutama pendaftaran tanggungan dalam aplikasi MySejahtera dilancarkan pada 12 Mac ini, yang membolehkan anak-anak mendaftarkan ibu bapa mereka yang tidak mempunyai MySejahtera bagi penerimaan vaksin,” katanya.

Khairy berkata satu taklimat akan dibuat kepada seluruh Ahli Parlimen mengenai Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

“Soal tarikh dan tempat akan saya susun dengan mereka supaya dapat diberikan taklimat kepada semua ‘backbenchers’. Mungkin dibahagikan ‘backbenchers’ pembangkang selepas itu ‘backbenchers’ kerajaan pada hari yang sama,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

309
Kongsi :
Previous post ‘Easy Shop Melaka’ platform digital pacu sektor keusahawanan
Next post Malaysia pertimbang pemerolehan vaksin COVID-19 CanSino satu dos
Ubah saiz-+=