Malaysia-Singapura buka sempadan darat mulai 1 April

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

KUALA LUMPUR 24 Mac – Malaysia dan Singapura akan membenarkan semua pengembara yang telah lengkap vaksinasi untuk merentas sempadan darat tanpa perlu menjalani kuarantin atau melaksanakan ujian COVID-19, termasuk ujian pra-pelepasan dan semasa ketibaan bermula 1 April nanti.

Perkara ini terpakai ke atas semua kategori pengembara dan jenis pengangkutan darat.

Berita baik itu adalah hasil persetujuan dicapai antara Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan rakan sejawatannya dari Singapura Lee Hsien Loong menerusi panggilan telefon, hari ini.

Kedua-dua Perdana Menteri mengakui bahawa Malaysia dan Singapura telah menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan khususnya dalam pelaksanaan program vaksinasi dan pengurusan pandemik COVID-19 bagi penduduk negara masing-masing.

Ismail Sabri Lee turut mengambil maklum atas kemajuan yang telah dicapai dalam meneruskan perjalanan rentas sempadan melalui Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (Udara) dan (Darat).

Sejajar dengan peralihan kehidupan fasa mendepani pandemik COVID19, kedua-dua pemimpin telah bersetuju bahawa sudah tiba masanya untuk membuka sempadan darat kedua-dua negara bagi pengembara yang telah lengkap vaksinasi.

Berikutan itu bermula 1 April 2022, kedua-dua negara akan membenarkan semua pengembara yang telah lengkap vaksinasi untuk merentas sempadan darat tanpa perlu menjalani kuarantin atau melaksanakan ujian COVID-19, termasuk ujian pra-pelepasan dan semasa ketibaan.

Perdana Menteri Berkata, Malaysia akan membuka sempadan kepada pengembara antarabangsa dan seterusnya melakar satu lagi kejayaan penting dalam memudahcara perjalanan rentas sempadan dengan jiran terdekat, Singapura.

“Pengumuman hari ini mencerminkan hubungan baik, kerjasama pelbagai aspek dan hubungan kukuh antara rakyat kedua-dua buah negara.

“Ini pastinya akan menyumbang kepada usaha-usaha pemulihan dengan impak positif ke atas ekonomi dan kesejahteraan rakyat kedua-dua negara,” katanya.

Sementara itu Lee Hsien Loong berkata, Singapura dan Malaysia menikmati hubungan yang mendalam, mesra dalam pelbagai aspek, serta hubungan antara rakyat yang kukuh.

“Pengumuman hari ini merupakan peristiwa penting dalam peralihan kita ke arah kehidupan dengan COVID-19. Ia mencerminkan kerjasama kukuh yang dinikmati kedua pihak sepanjang pandemik ini dan akan membantu kedua negara muncul lebih kuat daripada krisis ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1081
Kongsi :
Previous post Tentera Darat Malaysia dan Kanada bergabung patahkan ancaman senjata bahan kimia
Next post Ancaman gagak, MBMB atur operasi ‘tembak’ besar-besaran
Ubah saiz-+=