Tentera Darat Malaysia dan Kanada bergabung patahkan ancaman senjata bahan kimia

Masa Membaca:2 Minit, 40 Saat

SUNGAI UDANG 24 Mac – Sekumpulan pelancong cemas selepas bas persiaran dinaiki ditawan pengganas yang menggunakan bahan kimia sebagai senjata untuk mengancam nyawa mereka.

Susulan itu pasukan 21 Grup Gerak Khas (GGK), 12 Skuadron Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD), pasukan perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pasukan sahabat daripada Angkatan Tentera Kanada (ATK) diaktifkan bagi menangani ancaman senjata kimia, biologi, radiasi, nuklear dan bahan letupan (CBRNe).

ANGGOTA 12 Skuadron Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) memindahkan mangsa disyaki terdedah kepada senjata kimia digunakan pengganas. Foto Iqmal Haqim Rosman.

Pasukan penggempur perlu memikirkan strategi terbaik bagi mengelakkan nyawa tebusan daripada melayang berikutan taktik pengganas menggunakan senjata kimia iaitu ancaman bukan konvensional yang tidak dapat dilihat menggunakan mata kasar.

Atas kerjasama berpasukan dan perkongsian kemahiran pasukan penggempur daripada dua negara itu berjaya menyelamatkan tebusan serta menangani situasi cemas dengan baik termasuk melakukan pembersihan lokasi kejadian dicemari bahan kimia berbahaya.

Senario itu adalah sebahagian daripada demostrasi sempena Majlis Penutup Eksesais Mantis Siri 8/2022 berlangsung di Padang Pavilion, Kem Terendak.

Latihan bileteral antara Tentera Darat Malaysia (TDM) dan ATK itu yang bermula 25 Jan lalu menutup tirai hari ini.

PERALATAN terkini digunakan untuk mengesan kehadiran bahan kimia berbahaya. Foto Iqmal Haqim Rosman.

Menerusi eksesais itu 21 pegawai dan 119 anggota lain-lain pangkat (LLP) TDM didedahkan dengan pelbagai senario ancaman pengganas di tiga lokasi iaitu Pelabuhan Kuala Linggi, Melaka, Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) dan Stesen Transit Aliran Massa (MRT) Cochrane, Kuala Lumpur.

Pegawai Pemerintah 12 Skuadron RAJD (CDRNe), Leftenan Kolonel Shaiful Nizam Abdul Kholid berkata, pihaknya berdepan pelbagai cabaran berikutan latihan terpaksa dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ketat.

“Daripada segi komunikasi, tidak ada masalah, cuma diperingkat permulaan cabaran dihadapi lebih kepada ‘ice breaking’ (pengenalan) kerana setiap tahun peserta eksesais adalah daripada pasukan berbeza.

“Begitu juga cabaran dihadapi apabila latihan dijalankan ketika pandemik COVID-19 yang mana sedikit sebanyak menjejaskan perjalanan eksesais sekiranya seorang atau dua anggota dijangkiti.

“Jadi penjadualan semula terpaksa dilakukan mengikut kesesuaian,” katanya ketika ditemui selepas majlis penutup eksesais berkenaan.

TIMBALAN Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Seri Mohammad Ab Rahman ketika hadir pada Majlis Penutup Eksesais Mantis Siri 8/2022 di Kem Terendak, Melaka. Turut bersama Pesuruhjaya Tinggi Kanada, Wayne Robson dan Komander Jurutera Medan Barat, Mejar Jeneral Ir Abdul Hamid Mohd Isa. Foto Iqmal Haqim Rosman

Majlis penutup itu disempurnakan oleh Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Seri Mohammad Ab Rahman yang turut dihadiri Pesuruhjaya Tinggi Kanada ke Malaysia, Wayne Robson.

Hadir sama Komander Jurutera Medan Barat, Mejar Jeneral Ir Abdul Hamid Mohd Isa, Panglima 21 GGK, Mejar Jeneral Nubli Hashim dan Panglima 10 Briged (Para), Brigadier Jeneral Khairul Azmizal Ahmad Natal.

Shaiful Nizam berkata, menerusi latihan dijalankan, 12 Skuadron RAJD memperoleh pengetahuan mampu meningkatkan keupayaan untuk menangani ancaman CBRNe dalam konteks peperangan konvensional selain melawan keganasan.

“ATK ada cara tersendiri untuk menangani ancaman itu, kita juga mempunyai kaedah tersendiri namun ketidakserasian itu ‘minor’ (sedikit) sahaja.

“Asas pelaksanaan tetap sama kerana Malaysia dan Kanada adalah negara Komanwel, jadi sumber rujukan lebih kurang sama,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1649
Kongsi :
Previous post Keprihatinan Sulaiman bantu pesakit angin ahmar
Next post Malaysia-Singapura buka sempadan darat mulai 1 April
Ubah saiz-+=