Ancaman gagak, MBMB atur operasi ‘tembak’ besar-besaran

Masa Membaca:1 Minit, 57 Saat

AYER KEROH 24 Mac – Kebanjiran burung gagak di kawasan perumahan dan tempat tumpuan pelancong sejak akhir-akhir ini dilihat semakin membimbangkan.

Ia selepas pelbagai aduan diterima oleh penduduk dan pelancong di sekitar Kota Laksamana dan Banda Hilir yang dicemari dengan najis, selain gangguan bau, bunyi dan sebagainya.

Rentetan itu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Zainal Abu berkata, pihaknya akan mengambil tindakan lebih agresif menjalankan operasi bagi membanteras spesies perosak itu.

Zainal berkata, pihaknya kini menggiatkan Operasi Tembak Gagak di beberapa lokasi tumpuan seperti Taman Kota Laksamana dan Pulau Melaka yang dipercayai menjadi ‘rumah’ burung-burung berkenaan.

PEMBANTU Veterinar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Muhammad Amirul Md Razi menembak burung gagak yang mencemarkan kawasan perumahan selepas menerima aduan penduduk di Taman Semabok Perdana, Melaka. Foto: MR. AZLI

Jelasnya, operasi tersebut akan disasarkan pada awal pagi dan lewat petang iaitu ketika burung berkenaan keluar dari sarang mereka menuju ke kawasan bandar yang dipercayai terdapat banyak makanan.

“Saya sendiri telah turun untuk operasi menembak baru-baru ini dan berjaya menembak lebih 60 ekor gagak kerana kita telah terima banyak aduan khususnya di Kota Laksamana.

“Di sana terdapat sebatang pokok angsana besar yang menjadi sarang burung gagak yang mana burung-burung ini akan keluar pada pagi ke lokasi tumpuan ramai termasuk Banda Hilir.

“Saya kira tahap (ancaman) gagak ini kita perlu tangani, bukan bermakna kita mahu hapuskan semua, tetapi kita mahu kawal agar ia tidak memudaratkan orang ramai,” katanya.

Sekumpulan burung gagak mencemarkan kawasan perumahan di Taman Semabok Perdana, Melaka. Foto: MR. AZLI

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Apresiasi MBMB 2022 di Dewan Taming Sari MBMB, hari ini yang turut dihadiri Timbalan Pengarah Pendidikan Melaka Karim Tumin dan Pengerusi Kelab Pengamal Media Melaka (PENDIKA) Amir Mamat.

Dalam pada itu, katanya, beliau untuk jangka panjang, MBMB telah mengatur operasi besar-besaran yang akan melibatkan beberapa agensi lain bagi membasmi ancaman tersebut.

Katanya, antara agensi terlibat ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), RELA dan pegawai dari Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (PERHILITAN) yang akan memantau dan memberi tunjuk ajar.

“Dalam operasi itu mungkin kita akan pecahkan kepada beberapa kumpulan di beberapa lokasi yang telah dikenal pasti untuk menjalankan operasi berkenaan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2133
Kongsi :
Previous post Malaysia-Singapura buka sempadan darat mulai 1 April
Next post Tarikh lihat anak bulan Ramadan 1 April
Ubah saiz-+=