Malaysia tidak iktiraf sekatan unilateral, tidak menyelebahi mana-mana pihak – Saifuddin

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

PUTRAJAYA, 8 Mei – Malaysia tidak mengiktiraf sebarang sekatan unilateral terhadap mana-mana negara, melainkan ia diterima pakai oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA), kata Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

“Ini sentiasa menjadi prinsip Malaysia. Jika ada sekatan ia perlu melalui Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), dan jika resolusi itu diluluskan, maka sebagai anggota PBB kita perlu menghormati dan mematuhinya,” katanya kepada media dalam temu bual khas di pejabatnya di sini pada Sabtu.

Menteri itu mengulas mengenai sekatan antarabangsa yang dikenakan oleh Barat dan sekutunya ke atas Rusia berikutan operasi ketenteraannya ke atas Ukraine.

Mengenai konflik Rusia-Ukraine, Saifuddin berkata Malaysia mengekalkan pendirian tidak berpihak tetapi pada masa sama tidak pernah bersetuju dengan sebarang pencerobohan oleh mana-mana negara yang mengancam kedaulatan negara lain.

“Kami terus menggalakkan kedua-dua pihak bertelagah untuk menamatkan konflik ini. Kami tahu terdapat individu yang berusaha menjalin kerjasama dengan kedua-dua pihak untuk menamatkan konflik ini. Kami tidak terlibat setakat itu, tetapi kami berhubung dengan pihak yang mengusahakannya,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai kesan sekatan ekonomi terhadap rakyat Malaysia khasnya pelajar yang mengikuti pengajian di Rusia, Saifuddin berkata buat masa ini, kebajikan dan keselamatan mereka terjaga.

Buat masa ini, rakyat Malaysia di Rusia masih boleh membuat transaksi kewangan melalui perkhidmatan Union Pay.

Bagaimanapun, bank Russia yang menjalankan khidmat Union Pay adalah terhad kepada tiga bank sahaja setakat ini.

Tambahnya Kementerian Luar memantau rapi situasi ini dan ia sentiasa mendapat maklum balas mengenai perkembangan terkini kesan terhadap konflik Rusia-Ukraine daripada pihak Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Setakat ini terdapat 816 rakyat Malaysia berada di Rusia. Mereka terdiri daripada 779 pelajar dan 37 ekspatriat.

Menurut anggaran PBB, sekurang-kurangnya 3,309 orang awam telah terbunuh manakala hampir 3,500 lagi cedera sejak Rusia memulakan operasi ketenteraan terhadap Ukraine pada 24 Feb.

Lebih 5.7 juta rakyatnya dilaporkan telah melarikan diri ke negara lain, dan kira-kira 7.7 juta orang hilang tempat tinggal.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

849
Kongsi :
Previous post Polis tahan seorang lelaki berhubung kes buli di Taiping
Next post Dua parah kenderaan bertembung
Ubah saiz-+=