Sorting by

×

Mangsa banjir di Pontian reda sambut Aidilfitri dalam banjir

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

PONTIAN, 4 Mei – Pengalaman mengalami banjir saban tahun mungkin menjadi kebiasaan buat penduduk Kampung Sri Gambut di sini, namun mengharungi banjir tatkala Aidilfitri memberi sedikit kesan kepada mereka apabila terpaksa beraya di pusat pemindahan sementara (PPS).

Tinjauan di kampung itu mendapati beberapa rumah ditenggelami air sedalam paras pinggang dan mereka yang terjejas dipindahkan ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Melayu Raya.

Suri rumah, Miskiah Kundari, 59, ketika ditemui di PPS berkenaan berkata dia dan ahli keluarganya resah apabila hujan turun agak lama sejak awal pagi tadi dan paras air mula meningkat sedikit demi sedikit.

“Sedih jugalah, kita selalu hadapi banjir cuma tidaklah saat Aidilfitri…saya harap air cepat surut kerana kesian kepada anak-anak mahu beraya,” katanya yang memiliki tiga anak.

Susiah Zainal Abidin, 41, berkata dia bersama empat ahli keluarga sedikit terkesan kerana terpaksa beraya dalam keadaan banjir, namun reda dengan situasi itu.

Meskipun diuji, Susiah bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa berlaku dan kemudahan di PPS mencukupi termasuk bekalan makanan.

“Awal pagi tadi kawasan rumah sudah dikelilingi air dan memasuki bahagian dapur. Alhamdulillah air naik tidak terlalu cepat, jadi kami sempat memindahkan barangan ke bahagian atas rumah,” katanya.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Pontian, setakat ini 19 orang daripada empat keluarga di Kampung Sri Gambut dipindahkan ke PPS SK Kampung Melayu Raya akibat banjir susulan hujan lebat lebih dua jam bermula 3.30 pagi tadi. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

903
Kongsi :
Previous post Kes tembak di Bukit Bintang: Polis kesan dua lelaki bantu siasatan
Next post JKNPP minta semua pihak tidak buat spekulasi kematian pegawai perubatan HPP
Ubah saiz-+=