Mangsa banjir Johor meningkat

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

JOHOR BAHRU 14 Julai – Jumlah mangsa banjir di Johor meningkat mendadak kepada 1,271 orang daripada 331 keluarga setakat 8 pagi tadi, berbanding 707 orang daripada 164 keluarga malam tadi, dengan Batu Pahat merupakan daerah terbaru dilanda bencana alam itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri R. Vidyananthan berkata sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah itu di Sekolah Kebangsaan (SK) Sampurna menempatkan 15 orang daripada empat keluarga dari Kampung Sungai Punggor, Kampung Sungai Punggor Kecil dan Kampung Parit Mengkudu.

Menurutnya, jumlah mangsa banjir di tiga lagi daerah membabitkan 267 orang daripada 63 keluarga di tiga PPS di Tangkak,  Muar (lapan PPS membabitkan 818 mangsa daripada 215 keluarga); dan Pontian (tiga PPS dengan 171 mangsa daripada 49 keluarga).

“Di Muar, satu lagi PPS iaitu di SK Ismail Satu dibuka pada 11 malam tadi bagi menempatkan penduduk dari Kampung Kelantan dan Kampung Dato’ Sri Amar Diraja,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata pihak berkuasa melakukan pemantauan di kawasan-kawasan berisiko dilanda banjir berikutan cuaca mendung ketika ini.

Sementara itu, keadaan banjir di Negeri Sembilan setakat 10 pagi ini semakin surut dengan jumlah mangsa banjir ditempatkan di tiga PPS di Seremban dan Port Dickson berkurangan kepada 66 orang daripada 16 keluarga berbanding 282 orang daripada 59 keluarga malam tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri dalam kenyataan berkata daripada jumlah berkenaan, seramai 24 orang daripada lima keluarga dari Kampung Sega Hulu dan Kampung Sega Hilir ditempatkan di PPS SK Sega, Seremban.

“Di Port Dickson, seramai 33 orang daripada sembilan keluarga dari Kampung Jimah Lama ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Jimah manakala sembilan orang daripada dua keluarga dari Ladang Tanah Merah A3 ditempatkan di PPS Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Tanah Merah Site C,” menurutnya.

Menurut kenyataan itu, dua PPS daerah Port Dickson dijangka ditutup dalam masa terdekat dengan kesemua mangsa banjir sedang melakukan aktiviti pembersihan rumah.

Semalam, seramai 308 mangsa daripada 72 keluarga terjejas akibat banjir kilat yang melanda lima kampung di Port Dickson dan Seremban dan daripada jumlah berkenaan, 138 ditempatkan di tiga PPS berkenaan manakala bakinya berpindah ke rumah keluarga terdekat.

– BERNAMA

Views:

303
Kongsi :
Previous post ‘Roh’ Rukun Negara wajar jadi pegangan setiap rakyat
Next post Pelaksanaan penebusan GCR dikaji semula – Takiyuddin
Ubah saiz-+=