Mangsa kebakaran rayu pembinaan rumah disegerakan

Masa Membaca:2 Minit, 1 Saat

REMBIA 2 Dis. – Tiga sekeluarga yang kehilangan tempat tinggal akibat kebakaran pada awal September lalu merayu kerajaan negeri menyegerakan skim bantuan Rumah Sejahtera Rakyat.

Sejak kejadian pada 9 September lalu, mereka terpaksa menumpang di beberapa kediaman milik orang lain untuk meneruskan kehidupan dalam keadaan mereka amat berharap bantuan itu mampu disegerakan.

Zakaria Abdul Rahman, 57, berkata dia kini menumpang di kediaman rakannya di Kampung Solok Seberang Perai, Sungai Petai di sini manakala ibunya, Ramlah Lisut, 72, menumpang di kediaman Projek Perumahan Rayat Termiskin (PPRT) adiknya, Abdul Malek, 53.

“Seorang lagi adik saya, Mokhtar yang berusia 56 tahun terpaksa membina pondok tidak jauh dari rumah Abdul Malek untuk meneruskan kehidupan,” katanya ketika ditemui di tapak rumah yang terbakar di kampung itu hari ini.

ZAKARIA menunjukkan tapak rumah yang sudah dibersihkan daripada sisa kebakaran di Kampung Solok Seberang Perai, Sungai Petai dekat Alor Gajah. Foto Din Ahmad

Dalam kejadian 6.45 petang, 9 September lalu, Zakaria dan ibunya yang sedang melayan dua tetamu terkejut apabila melihat api dari bilik Mokhtar dan cuba memadamkannya.

Bagaimanapun, api merebak dengan cepat berikutan rumah itu diperbuat daripada papan dan dalam tempoh 30 minit, keseluruhan kediaman berkenaan hangus.

Zakaria yang masih bujang berkata, Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Rembia berjanji akan mendapatkan Rumah Sejahtera Rakyat untuk dibina di tapak kediaman yang sudah dibersihkan daripada kesan runtuhan.

Sehubungan itu, beliau merayu pihak berkenaan supaya membantu menyegerakan pembinaan rumah yang bernilai kira-kira RM40,000 itu.

“Alhamdulillah saya bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada pelbagai pihak, termasuk syarikat swasta yang sudi menghulurkan sumbangan untuk saya sekeluarga dan insyaAllah saya gunakannya untuk mendapatkan barangan keperluan, katanya.

Zakaria berkata, selepas bersara daripada sebuah kilang dua tahun lalu, dia sekadar melakukan kerja kampung seperti mengambil upah membersihkan kebun, bertukang dan membantu rakannya membuat kerja pendawaian elektrik.

“Mokhtar yang masih belum berkahwin hanya bertugas sebagai anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), manakala ibu sudah uzur,” katanya.

Selepas kebakaran itu, Zakaria, Mokhtar dan ibu mereka terpaksa menumpang di rumah PPRT Abdul Malek yang menghuni rumah berkenaan bersama-sama isteri dan empat anak berusia antara 18 hingga 24 tahun.

Zakaria bersyukur apabila rakannya menawarkan tempat tinggal sementara di kediamannya di kampung itu, manakala Mokhtar mengambil inisiatif membina pondok kira-kira 10 meter dari rumah Abdul Malek dan Ramlah meneruskan kehidupan dengan menumpang di kediaman Abdul Malek.

Mereka yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi Zakaria dengan menelefon 01116386982.

Views:

740
Kongsi :
Previous post Hoki wanita Melaka sedia hadapi aksi persahabatan
Next post ‘Alhamdulillah, tahun ini tiada ujian banjir’
Ubah saiz-+=