‘Alhamdulillah, tahun ini tiada ujian banjir’

Masa Membaca:1 Minit, 50 Saat

DURIAN TUNGGAL 2 Dis. – “Alhamdulillah tahun ini kami tidak diuji dengan ujian berat sawah dilanda banjir, sebaliknya Allah memurahkan rezeki kami sempat menuai sebelum banjir melanda,” kata Abdul Rashid Sulaiman, 57.

Pesawah itu berkata, dia bersyukur kerana tidak diuji dengan banjir besar seperti dua tahun lalu yang menyebabkannya dan pesawah lain kerugian puluhan ribu ringgit.

Mereka menarik nafas lega kerana banjir yang melanda beberapa kawasan di daerah ini selama seminggu mulai 20 November lalu, tidak seteruk hujung tahun 2018.

Katanya, dia bersyukur kerana sempat menuai padi seminggu sebelum banjir melanda dan terselamat daripada mengalami kerugian berbanding padi tidak sempat dituai ketika banjir melanda pada November 2018.

“Alhamdulillah, kami sangat bernasib baik kerana hanya seminggu sebelum banjir melanda, kami sudah selesai menuai.

“Kampung ini memang sering dilanda banjir sejak 20 tahun lalu dan kali terakhir banjir besar ialah dua tahun lalu, manakala banjir dua minggu lalu tidak sebesar yang sebelum ini,” katanya ketika ditemui di Kampung Belimbing Dalam, di sini hari ini.

Beliau berkata, musim hujan sekarang banyak membantu kerja membajak tanah yang sedang dijalankan dan dijangka kerja menabur benih bakal dilakukan pada pertengahan bulan ini.

Petani yang memiliki sawah seluas dua hektar itu berkata, ketika banjir besar melanda dua tahun lalu, keseluruhan sawahnya dan pesawah lain dinaiki air setinggi kira-kira 0.5 meter yang memusnahkan padi yang hampir masak.

“Kami tidak dapat berbuat apa-apa selain reda dengan ujian Allah tetapi tahun ini Allah memurahkan rezeki kami hingga kami sempat menuai sebelum banjir melanda, walaupun banjir kali ini tidak seteruk dua tahun lalu, ia tetap menyebabkan kerugian jika padi yang sedang masak terendam,” katanya.

Pesara Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) itu berkata, dia menggunakan benih UKMRC8 yang diperoleh daripada pengeluar benih di Kedah tetapi, tuaiannya baru-baru ini tidak mendatangkan hasil lumayan akibat tidak menerima air yang mencukupi.

Katanya, sepanjang musim penanaman dari Julai hingga Oktober lalu, dia kurang menitikberatkan aspek penjagaan air dan ia menyebabkan hanya satu tan padi diperoleh.

Jelasnya, perolehan itu amat jauh bezanya dengan hasil antara lapan hingga 12 tan semusim yang biasa diperoleh sebelum ini jika aspek penjagaan air diberi perhatian.

Sehubungan itu, dia nekad memberikan tumpuan kepada aspek berkenaan bagi memastikan musim penanaman Disember hingga April depan mampu memberikan pulangan memuaskan.

Views:

754
Kongsi :
Previous post Mangsa kebakaran rayu pembinaan rumah disegerakan
Next post Elemen multitugas tingkat kemahiran pelajar
Ubah saiz-+=