MAPEX 2023 tawar 3,874 unit hartanah, kediaman

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

KESIDANG 27 Oktober – Pameran Ekspo Hartanah Malaysia (MAPEX) 2023 siri dua yang bakal berlangsung selama enam hari dari 31 Oktober hingga 5 November ini menawarkan 3,874 unit hartanah pelbagai jenis bernilai lebih RM1.4 bilion.

Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Melaka, Datuk Ng Choon Koon berkata, ekspo dijadual berlangsung di pusat beli-belah Aeon Mall Bandaraya Melaka itu akan membabitkan 21 pemaju perumahan termasuk Pelaburan Hartanah Berhad.

Choon Koon berkata, penganjuran MAPEX itu nanti menawarkan kediaman bermula harga serendah RM90,000 hingga RM2.1 juta, menerusi 54 projek pembangunan.

“Ekspo kali ini menawarkan 2,391 kediaman di Melaka Tengah, diikuti Jasin dengan 438 dan Alor Gajah pula 377 unit. Selain itu terdapat 668 unit hartanah di Sepang, Selangor juga akan ditawarkan dan kesemua hartanah ini bernilai RM1,416,526,955.

“Antara hartanah terbanyak yang ditawarkan adalah unit kondominium, ‘apartment’, ‘service apartment’ dan pangsapuri dengan 1,526, diikuti banglo dua tingkat sebanyak 1,220 unit serta perumahan satu tingkat dengan 444 unit,” katanya pada sidang media di Pejabat REHDA Melaka, di Malim Jaya, di sini.

Hadir sama Pengerusi Penganjur MAPEX Datuk Ngoh Chun How dan Pengarah Bank Simpanan Nasional (BSN) negeri Mohd Hairul Izam Abu Bakar.

Menurutnya, rakyat Melaka disaran merebut peluang itu kerana harga ditawarkan adalah berpatutan, malah bakal pembeli menikmati penjimatan sehingga RM11,250 menerusi pengecualian duti setem.

“Penganjuran ekspo ini juga selaras dengan matlamat Kerajaan Negeri Melaka yang menggalakkan rakyat memiliki kediaman sendiri selain membantu bakal pembeli mendapatkan rumah idaman.

“Kami jangka 20,000 pengunjung akan singgah ke ekspo ini nanti dengan perasmian disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh,” katanya.

Mengulas lanjut, Choon Koon berkata, harga kediaman di Melaka masih dianggap mampu milik apabila kediaman bernilai bawah RM500,000 terjual sebanyak 4,214 unit bagi suku tahun pertama.

“Daripada jumlah itu, kediaman berharga antara RM100,001 hingga RM200,000 terjual sebanyak 1,309 unit, diikuti harga RM200,001 hingga RM300,000 sebanyak 1,257 unit manakala harga dibawah RM100,000 pula terjual sebanyak 518 unit,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1810
Kongsi :
Previous post Sasar 100 peratus sekolah di Melaka tubuh Kelab Rukun Negara
Next post WTD2025 pengiktirafan untuk Melaka
Ubah saiz-+=