WTD2025 pengiktirafan untuk Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

DURIAN TUNGGAL 27 Oktober – Pemilihan Melaka sebagai tuan rumah Forum Hari Pelancongan Dunia 2025 (WTD2025) dianggap sebagai satu pengiktirafan yang amat bermakna buat negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, bersempena forum itu negeri ini akan menjadi tumpuan dunia apabila 155 pemimpin negara asing berkampung di Melaka bagi berbincang dan bertukar-tukar pandangan mengenai industri pelancongan.

Bangga dengan pemilihan Melaka sebagai tuan rumah WTD2025, Ketua Menteri berkata forum berkenaan dijadualkan pada 27 September 2025 dan berlangsung selama seminggu di bumi Hang Tuah ini.

“Penganjuran forum berkenaan membuktikan Melaka adalah sebuah negeri pelancongan di Malaysia yang diiktiraf oleh Kerajaan Persekutuan. Melaka bersedia untuk menerima dan menjayakan WTD2025 sebaik sahaja kita selesai dengan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) pada tahun hadapan.

“Berikutan itu TMM2024 adalah indikator terbaik untuk kita raikan kehadiran 155 pemimpin negara asing ini bersama-sama delegasi mereka yang datang bersidang pada WTD2025 nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka Bagi Bulan Oktober 2023 di Dewan Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh, barisan Exco Timbalan Exco, ketua jabatan serta agensi Kerajaan Negeri.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

704
Kongsi :
Previous post MAPEX 2023 tawar 3,874 unit hartanah, kediaman
Next post Modul silang budaya tarikan Kem Kami Anak Malaysia
Ubah saiz-+=