MARDI giat usaha perluas baka lembu KK Elit

Masa Membaca:1 Minit, 56 Saat

UMBAI 10 April – Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) berusaha meningkatkan ternakan baka Lembu Kedah-Kelantan (KK) Elit bagi menjamin bekalan daging dan susu di negara ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, inisiatif itu sekali gus mampu mengurangkan kadar import bagi industri ternakan lembu.

AHMAD semasa melihat sesi demonstrasi teknologi semen Kk Elit.

“Justeru kita laksanakan Program Pemindahan Teknologi Lembu Kedah-Kelantan (KK) Elit bagi menangani isu dihadapi pembangunan industri ternakan yang kekurangan baka lembu.

“Baka ini (lembu KK Elit) dibangunkan melalui program pemilihan dan peningkatan baka secara berstruktur baka lembu tempatan Kedah-Kelantan sejak 2018.

“Lembu ini boleh mencapai berat maksimum 430 hingga 460 kilogram bagi jantan dan 250 hingga 300 kilogram bagi lembu betina pada umur tiga ke empat tahun,” katanya.

 

AHMAD melihat pameran yang disediakan pada program tersebut.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Pemindahan Teknologi Pengeluaran Lembu Kedah-Kelantan (KK) Elit MARDI – DVS kepada Penternakan di Kampung Bukit Tembakau di sini, hari ini.

Jelasnya, kadar kenaikan berat badan baka lembu KK Elit berjaya ditingkatkan daripada 350 gram sehingga 800 gram sehari.

“Kenaikan ini hasil pemberian formulasi makanan terumus selain kajian manipulasi makanan dan pembiakan terpilih.

“Menerusi Pakej Formulasi Makanan Lembu Kk Elit 7 Mac lalu, produk-produk formulasi makanan ini mampu memastikan jumlah bahan kering dalam bentuk nutrisi karbohidrat, protein, lemak, galin dan vitamin seimbang serta mencukupi,” katanya.

Dalam pada itu Ahmad berkata, setakat ini hampir 3,600 dos (straw) semen KK Elit berjaya dikrioawet.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 200 straw semen telah diedarkan kepada penternak bagi menyebarluas benih baka lembu KK Elit.

“Hasil kajian membuktikan bahawa baka tempatan juga dapat ditingkatkan berat badannya setanding lembu baka temperat (negara barat),” katanya lagi.

Hadir sama Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr Mohamad Roff Mohd Noor dan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Datuk Dr Norlizan Mohd Noor.

Untuk rekod di bawah Program Kerjasama MARDI-JPV, sebanyak lima ekor pejantan (lembu jantan) terpilih telah diserahkan kepada Institut Biodiversiti Veterinar Kebangsaan (IBVK) pada 26 April 2019.

Lembu-lembu ini diserahkan bagi pemungutan, pengumpulan dan krioawetan semen seterusnya menyebarkan benih baka lembu KK Elit kepada penternak yang berminat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2406
Kongsi :
Previous post AUDIO: Ahmad Zahid perlu segerakan laporan polis elak spekulasi
Next post Karnival Kerjaya 3 Daerah: Kerajaan negeri sasar 2,500 individu dapat tawaran kerja terus
Ubah saiz-+=