Karnival Kerjaya 3 Daerah: Kerajaan negeri sasar 2,500 individu dapat tawaran kerja terus

Masa Membaca:1 Minit, 54 Saat

MASJID TANAH 10 Apr. – Kerajaan negeri menyasarkan sekurang-kurangnya 2,500 individu mendapat peluang pekerjaan secara terus pada Karnival Kerjaya 3 Daerah Peringkat Negeri Melaka hari ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, kerajaan negeri sentiasa berusaha dalam memastikan kebajikan rakyat negeri ini khususnya dalam mendapat peluang pekerjaan bersesuaian.

SULAIMAN ketika melancarkan Karnival Kerjaya 3 Daerah Peringkat Negeri Melaka.

“Insya-Allah, dengan penganjuran ini kita menyasarkan sekurang-kurangnya 2,000 hingga 2,500 individu akan ditawarkan pekerjaan secara terus.

“Saya difahamkan pagi tadi ramai pengunjung yang datang dan selepas saya lancarkan tadi, sudah ada individu yang mendapat kerja secara terus.

“Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam acara dianjurkan ini bagi memastikan nasib rakyat Melaka terus dibela selepas terkesan dengan COVID-19,” katanya.

Dalam pada itu, Sulaiman menasihatkan golongan pencari kerja di negeri ini agar tidak terlalu memilih pekerjaan yang ditawarkan disebabkan kekangan ekonomi dan perlu menerima sebarang pekerjaan yang ditawarkan majikan terbabit.

“Dalam tempoh pasca pandemik ini kita harap rakyat jangan terlalu memilih pekerjaan kerana sekurang kurangnya ia dapat membantu mereka menjana pendapatan,” katanya.

PRIHATIN,,,Sulaiman berbincang dengan peserta yang mengisi borang untuk temuduga pekerjaan di karnival itu.

Sementara itu, Sulaiman berkata, Karnival Kerjaya 3 Daerah Peringkat Negeri Melaka akan diperluaskan ke daerah Melaka Tengah dan Jasin.

Katanya, penganjuran julung kali di Masjid Tanah hari ini sekali gus mewakili daerah Alor Gajah dengan menawarkan 5,000 peluang pekerjaan.

Jelasnya, program dengan kerjasama Institut Tun Perak dan Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) diadakan hasil Mesyuarat Tindakan Ekonomi Negeri (MTEN) yang menimbang ramai penduduk di Melaka khususnya kehilangan pekerjaan akibat pandemik COVID-19.

“Dalam keadaan ini terdapat individu diberhentikan kerja, berhenti secara sukarela atau syarikat mereka gulung tikar akibat wabak terbabit.

“Dengan usaha diambil kerajaan negeri kita harap peluang ditawarkan membabitkan lebih 30 agensi swasta dari dalam dan luar Melaka ini dapat memberi peluang baharu buat rakyat di negeri ini,” katanya.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh dan Exco Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Manusia, Datuk Wira Ar. Ismail Othman.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

687
Kongsi :
Previous post MARDI giat usaha perluas baka lembu KK Elit
Next post 83 sekolah di Masjid Tanah terima tuisyen percuma ‘i-Cerdik’
Ubah saiz-+=