Sorting by

×

Masjid baharu di Lesung Batu

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

MACHAP JAYA 21 September – Sebuah masjid baharu bakal dibina di Lesung Batu, sesuai dengan pertambahan jumlah penduduk dan keperluan semasa serta masa akan datang di kawasan itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap Jaya, Ngwe Hee Sem berkata, pembinaan masjid berkenaan yang boleh memuatkan sehingga 800 jemaah dalam satu-satu masa, dijangka membabitkan kos RM7.2 juta.

Katanya, mengikut perancangan jangka panjang masjid berkenaan akan dilengkapi kemudahan lain seperti sekolah agama, dewan dan tanah perkuburan Islam.

“Kita mahu wujudkan satu kawasan yang mempunyai semua kemudahan secara berpusat, namun dilaksanakan secara berperingkat, tapak seluas 4.45 hektar (11 ekar) bagi pembinaan masjid ini juga sudah dikenal pasti.

“Masjid baharu ini dirancang dibina di tapak berhadapan Kompleks Penyayang, Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Alor Gajah. Selain itu pemohonan membina masjid baharu ini juga sudah mendapat kelulusan Kerajaan Pusat.

“Pembinaan kemudahan ini sejajar dengan manifesto yang saya tawarkan kepada rakyat dan ini akan memberikan faedah kepada penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di kawasan Tadahan Air Empangan Durian Tunggal di Masjid Lama Kampung Machap, di sini, semalam.

Hee Sem yang juga Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri berkata, difahamkan proses pengeluaran tender akan dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR) pada Oktober.

Menurutnya, pembinaan masjid berkenaan akan dimulakan pada bulan yang sama dan dijangka mengambil masa selama dua tahun untuk disiapkan.

Dia memberitahu, pembinaan kemudahan itu amat perlu berikutan pembangunan pesat di DUN Machap Jaya termasuk di Lesung Batu mengakibatkan pertambahan penduduk

Malah katanya, pihaknya sedang merancang untuk membina sebuah taman industri kecil dan sederhana (IKS) di DUN berkenaan, sekali gus merancakkan lagi aktiviti ekonomi setempat.

“Ini satu lembaran baharu buat DUN Machap Jaya, difahamkan lebih 2,000 unit rumah sedang dibina ketika ini dan ditambah dengan pembinaan IKS pada masa akan datang akan meningkatkan lagi jumlah penduduk kawasan ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1443
Kongsi :
Previous post MATTA Fair Melaka 2023 tawar ‘Sunset Cruise’ di Selat Melaka
Next post Masjid Lama Machap simbol perpaduan dua kaum
Ubah saiz-+=