Masjid lama Kampung Belimbing Dalam bukan monumen terawal – PERZIM

Masa Membaca:2 Minit, 21 Saat

DURIAN TUNGGAL 23 Okt. – Masjid lama Kampung Belimbing Dalam bukan monumen terawal dibina pada zaman Kesultanan Melayu Melaka, seperti yang didakwa.

Sebaliknya ia dibina sekitar tahun 1700 hingga 1800.

Timbalan Pengerus Perbadanan Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) Datuk Akramuddin Abdul Aziz berkata, kajian secara mendalam terhadap asas dan fakta pembinaan masjid tersebut perlu dilaksanakan terlebih dahulu dengan kerjasama Jabatan Warisan Negara Negeri Melaka.

Beliau bagaimanapun tidak menafikan kajian yang dilakukan pengkaji sebelum ini tentang bahan binaan masjid tersebut yang difahamkan menggunakan bahan dari Zaman Kesultanan Melayu Melaka seperti batu laterit.

“Kemungkinan besar pembinaan ini tidak berlaku semasa zaman Kesultanan Melayu Melaka, jadi tujuan kita adalah untuk membetulkan balik fakta tetapi bahan binaan yang digunakan seperti batu laterit itu memang digunakan semasa zaman tersebut.

AKRAMUDDIN (kiri) dan Mohd Nasruddin (kanan) melawat tapak masjid lama yang didakwa masjid tertua di Malaysia di Kampung Belimbing Dalam, di sini hari ini.

“Laporan media mengatakan kemungkinan (dibina zaman Kesultanan Melayu Melaka) sama ada betul atau tidak, kita menghormati pandangan itu tetapi selaku pihak berkuasa negeri yang diamanahkan kita harus membetulkan balik fakta yang ada.

“Kita tidak menidakkan kajian yang telah dibuat tetapi PERZIM mempunyai fakta sendiri dengan Jabatan Warisan Negara (JWN) Negeri Melaka yang memang kita tahu bahawa kemungkinan besar pembinaannya tidak berlaku pada zaman itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membuat lawatan kerja ke Masjid Lama Belimbing Dalam di Kampung Belimbing Dalam, di sini hari ini.

Sementara itu, Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) Dr. Mohd Nasruddin Rahman berkata, berdasarkan sumber Sejarah Melayu, terdapat masjid agung yang terletak di Bukit Melaka dan pembinaan masjid berkenaan memang wujud pada abad ke-15.

Katanya, apabila Portugis menawan Melaka pada tahun 1511, mereka memusnahkan rumah ibadah Islam dan jika dilihat tiada pembinaan masjid di Banda Hilir sehingga abad ke-18.

“Yang ada pembinaan masjid di Tanjung Keling iaitu pada tahun 1720, masjid di Kampung Hulu dan Tengkera pada tahun 1728.

“Itu antara masjid terawal selepas penjajahan tetapi sebelum itu ada sebuah masjid di Peringit, ini juga dalam catatan, jadi kita boleh gunakan fakta tersebut.

“Kalau dilihat dari segi seni binanya, kita boleh nampak seni bina masjid (di Belimbing Dalam) lebih kurang sama jadi kita menganggarkan masjid itu dibina pada awal 1800 atau akhir 1700 dengan berkembangnya Islam di kawasan Melaka,” katanya kepada Melaka Hari Ini (MHI).

Beliau berkata demikian selepas mengiringi Timbalan Pengerusi PERZIM, Datuk Akramuddin Abd Aziz yang membuat lawat kerja ke lokasi Masjid Lama Belimbing Dalam di Kampung Belimbing Dalam, di sini hari ini.

Dr. Mohd Nasruddin berkata, bagaimanapun tarikh sebenar pembinaan masjid berkenaan belum dapat dipastikan dan pihaknya masih menjalankan kajian mengenai perkara itu.

“Tidak ada catatan penduduk awal di sini sejak tahun berapa (pembinaan) tidak dapat dipastikan, itu perlu buat kajian, sebaliknya hanya bahan binaan sahaja yang menggunakan batu daripada zaman Kesultanan Melayu Melaka,” katanya.

Views:

1821
Kongsi :
Previous post Arahan tutup premis buat peniaga ingkar SOP
Next post COVID-19: 710 kes, tiga kluster baharu direkodkan hari ini
Ubah saiz-+=