COVID-19: 710 kes, tiga kluster baharu direkodkan hari ini

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

KUALA LUMPUR 23 Okt. – Jumlah kes baharu COVID-19 di Malaysia dalam tempoh 24 jam kekal dengan tiga angka namun menurun sedikit kepada 710 kes, selain merekodkan 10 kematian baharu, iaitu yang tertinggi sejak wabak itu melanda negara.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkembangan baharu hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes positif kini sebanyak 24,514 kes manakala jumlah maut akibat wabak itu sebanyak 214.

Beliau berkata jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula kini adalah 8,416 kes.

“Sabah terus mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu 528 kes susulan hasil usaha gigih dalam menjalankan pengesanan kes secara aktif di negeri itu,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 hari ini.

Sementara itu, tiga lagi kluster baharu dilaporkan hari ini di Sabah, Kuala Lumpur dan Selangor, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Kluster tersebut dikenal pasti sebagai Kluster Samudera dan Kluster Palma dengan kes indeks berpunca daripada hasil saringan bergejala, serta Kluster Jaya dengan kes indeks hasil saringan di tempat kerja.

“Kluster Samudera melibatkan daerah Sandakan, Sabah. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-22612) dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan individu bergejala pada 20 Okt dan dimasukkan ke Hospital Duchess of Kent.

“Saringan kontak rapat mengenal pasti tujuh lagi kes positif COVID-19. Sehingga 12 tengah hari ini sejumlah lapan individu disaring dengan lapan kes dikesan positif (termasuk dua kes baharu hari ini),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Kluster Palma melibatkan daerah Gombak dan Hulu Selangor di Selangor serta Kepong di Kuala Lumpur.

–BERNAMA

Views:

336
Kongsi :
Previous post Masjid lama Kampung Belimbing Dalam bukan monumen terawal – PERZIM
Next post Wanita maut digilis treler
Ubah saiz-+=