
TELUK BEREMBANG: DARI PAYA BAKAU KE DESTINASI PELANCONGAN
AYER LIMAU 12 September – Dahulu, kawasan ini hanyalah sebuah hutan paya bakau berlumpur yang sering ditenggelami banjir, namun siapa sangka dalam beberapa tahun sahaja, Telok Berembang telah berubah wajah menjadi antara permata pelancongan utara Melaka.
Transformasi itu merupakan hasil komitmen Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer bersama jabatan dan agensi kerajaan yang mengubah wajah kawasan itu sehingga ia kini berjaya menarik kehadiran pelancong.
Hameed yang juga Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri berkata, usaha membangunkan kawasan berkenaan dimulakan selepas beliau menjadi wakil rakyat pada 2021, terutama selepas kejadian banjir besar yang menenggelamkan kawasan berkenaan.
Menurutnya, pembangunan dilakukan secara berperingkat dengan memberi tumpuan kepada penyediaan kemudahan awam, pengukuhan tebing serta kemudahan untuk komuniti nelayan.
“Ketika berlaku banjir besar pada 2021 dan 2022, kawasan ini ditenggelami sepenuhnya air dan bermula dari saat itulah kita cuba membangunkannya sedikit demi sedikit.
“Antaranya, kita membangunkan tapak Dataran Telok Berembang dengan kos RM200,000 di kawasan yang sebelum ini merupakan paya bakau.
“Selepas itu, sejumlah RM200,000 lagi diperuntukkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi membaik pulih tebing yang runtuh dan Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) memperuntukkan RM30,000 bagi kemudahan nelayan dan komuniti setempat.
“Jadi, setakat ini sahaja peruntukan lebih RM400,000 telah disalurkan bagi pembangunan kawasan ini dalam tempoh lima tahun,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Beliau berkata demikian selepas hadir menyempurnakan Festival Sungai Melaka 2026 Daerah Alor Gajah sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau di Jeti Telok Berembang, di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM Shaharul Azuar Idris.
Tidak terhenti di situ, Hameed memaklumkan, pembangunan Telok Berembang akan diteruskan menerusi pembinaan sebuah balai nelayan bernilai RM600,000 hasil peruntukan Jabatan Perikanan.
Pada masa sama, ujar beliau, menerusi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), hampir RM1 juta lagi akan diperuntukkan bagi menjadikan kawasan ini sebagai perhentian pelancong.
“Pembangunan berterusan itu bukan sahaja memberi manfaat kepada komuniti nelayan, malah menjadikan Telok Berembang sebagai salah satu lokasi pelancongan baharu di kawasan Ayer Limau,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

