
WRUR AYER LIMAU: LEBIH 10,000 ORANG KAMPUNG BERI SOKONGAN
AYER LIMAU 12 September – Lebih 10,000 penduduk kampung membanjiri pelbagai program sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau yang berlangsung 6 hingga 12 September.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, jumlah berkenaan berdasarkan sambutan luar biasa masyarakat di kesemua zon utama dalam DUN Ayer Limau sepanjang seminggu WRUR berlangsung.
Menurutnya, setiap zon dimeriahkan dengan kehadiran lebih 1,000 orang, sekali gus membuktikan WRUR mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat.
“Alhamdulillah, sambutan amat menggalakkan. Kita ada lima zon utama dan ternyata kesemua zon mendapat sambutan cukup luar biasa.
“Malah, setiap zon masing-masing bersaing untuk menunjukkan siapa mampu menghimpunkan paling ramai penduduk kampung dan boleh dikatakan lebih 1,000 orang hadir di setiap zon,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Festival Sungai Melaka 2026 Daerah Alor Gajah sempena Program WRUR DUN Ayer Limau di Jeti Telok Berembang, di sini, hari ini.
Hameed yang juga Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri berkata, sambutan luar biasa itu membuktikan WRUR sebagai inisiatif yang membawa impak dan makna cukup besar kepada rakyat, khususnya di kawasan luar bandar.
“Program yang disusun juga pelbagai dan melengkapi segenap lapisan masyarakat termasuklah pelajar sekolah, ibu tunggal, golongan asnaf, nelayan dan lain-lain lagi.
“Antara yang mendapat sokongan hebat adalah program Ayer Limau Berselawat yang dimeriahkan dengan kehadiran 1,000 orang, selain Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat yang menghimpunkan lebih 2,000 masyarakat berbilang kaum.
“Malah, kita jangkakan untuk hari terakhir iaitu penutup WRUR DUN Ayer Limau sahaja, lebih 6,000 akan memeriahkan pelbagai pengisian yang telah dirangka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

